October 9, 2026

Kota Samarahan, 6 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berterusan melakar sejarah kebanggaan menerusi siri kejayaan cemerlang yang dicapai oleh warga akademiknya di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Di peringkat kebangsaan, dua mahasiswa UNIMAS telah mencatatkan pencapaian gemilang pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 yang berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini.

Kejayaan tersebut menyaksikan Muhammad Faiz Farhan bin Yusnizam dari Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi, manakala Avinash a/l Loganathan dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat berjaya meraih anugerah Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa.

Anugerah berprestij berkenaan telah disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengiktiraf kepimpinan, daya usaha, dan pencapaian cemerlang mahasiswa di peringkat kebangsaan.

Pencapaian ini amat membanggakan apabila ia turut mencatat kejayaan sulung UNIMAS dalam Anugerah Tokoh Siswa Negara sejak penganjuran anugerah berprestij ini.

Sementara itu di peringkat antarabangsa, warga akademik UNIMAS turut mencatat kejayaan membanggakan apabila Dr. Mohamad Faizuan Bin Mat menerima Anugerah Highly Commended di International Academy Awards bagi kategori Use of Art in Public and Private Spaces menerusi hasil karyanya, The Bin Art Project, Kuching, Sarawak.

Pengiktirafan antarabangsa anjuran International Academy for Design and Health, Sweden ini telah disampaikan bersempena 15th Design & Health World Congress & Exhibition 2026 yang diadakan di Kuching.

Kejayaan ini mempamerkan kreativiti, inovasi, serta sumbangan bermakna beliau dalam
memartabatkan seni visual di ruang awam dan swasta, sekali gus mengharumkan nama Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FACA), UNIMAS, serta komuniti kreatif Sarawak di persada dunia.

Pengurusan tertinggi UNIMAS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas komitmen serta impak positif yang dibawakan oleh keduadua mahasiswa dan Dr. Mohamad Faizuan.

Kejayaan berganda ini membuktikan bahawa warga UNIMAS bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kepimpinan, malah berdaya saing tinggi, inovatif, serta mampu memberikan sumbangan berimpak tinggi kepada masyarakat dan negara.

Pengiktirafan ini dijangka terus menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga kampus UNIMAS untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan holistik dalam pelbagai bidang kepimpinan, seni, dan inovasi.