
Rh Adin Anak Jawa, Sungai Engkalat, Sibu | 22 November 2026 – Pelajar perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UNIMAS telah mengadakan program “Sehati Di Rumah Panjai” di Rumah Panjang Adin Anak Jawa. Program ini diketuai oleh Saudari Riona Sethurani Abraham, Pelajar Doktor Perubatan Tahun 3 dan menjadi platform interaksi antara pelajar perubatan dan komuniti setempat dalam usaha memperkukuh kesedaran kesihatan serta menggalakkan amalan penjagaan kesihatan dalam kehidupan seharian.

Melalui pendekatan berasaskan komuniti, program ini mengetengahkan pendidikan kesihatan mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD), pencegahan penyakit dan amalan gaya hidup sihat. Penduduk berpeluang berinteraksi dengan pelajar melalui booth pendidikan yang memfokuskan kepada penyakit jantung, strok, hipertensi, diabetes mellitus dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD). Penerangan turut merangkumi faktor risiko, tanda dan gejala, komplikasi serta langkah pencegahan.

Selain pendidikan kesihatan, program ini turut menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan dan konsultasi perubatan oleh Prof. Madya Dr. Azizah binti Azhar, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, UNIMAS. Pemeriksaan merangkumi tekanan darah, tinggi dan berat badan, paras glukosa darah serta elektrokardiogram. Penduduk turut berpeluang mendapatkan nasihat perubatan secara langsung, membolehkan mereka lebih memahami status kesihatan serta kepentingan pengesanan awal dan pencegahan penyakit.

Penglibatan secara langsung bersama penduduk turut memberikan pengalaman pembelajaran bermakna kepada pelajar perubatan dalam memahami keperluan kesihatan komuniti, berkomunikasi dengan masyarakat serta mengaplikasikan pengetahuan kesihatan awam dalam konteks sebenar. Interaksi ini mencerminkan kepentingan pendekatan yang responsif terhadap keperluan komuniti dalam penyampaian pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan komuniti dalam penjagaan kesihatan kendiri, penduduk turut dilibatkan secara aktif dalam aktiviti penilaian Indeks Jisim Badan (BMI) yang dikendalikan oleh Daphne Beeja Anak Ali. Aktiviti ini bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk terhadap status kesihatan masing-masing serta menggalakkan pemantauan kesihatan secara kendiri. Program ini turut mengiktiraf Claudya Norlyana Anak Royston Nanang, Bea Samantha Anak Sudin dan Daphne Beeja Anak Ali sebagai Health Champions, yang diharapkan dapat menjadi penggerak komuniti dalam meneruskan legasi sihat di Rh Adin. Pengiktirafan ini mencerminkan peranan penting komuniti dalam memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap penjagaan kesihatan serta memastikan usaha promosi kesihatan dapat diteruskan secara berterusan di peringkat setempat.
Program yang dihadiri kira-kira 40 orang penduduk kampung ini diakhiri dengan pembentangan dapatan kajian dan rumusan aktiviti sepanjang program oleh Dr. Rosalia binti Saimon, Penyelaras Program “Sehati Di Rumah Panjai”. Beliau turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan secara berterusan, pengamalan gaya hidup sihat serta kesedaran terhadap pengesanan awal penyakit bagi mengekalkan kesejahteraan diri dan keluarga.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tuai Rumah Adin Anak Jawa serta seluruh penduduk Rh Adin atas sambutan, kerjasama dan penglibatan aktif mereka dalam menjayakan program ini. Melalui “Sehati Di Rumah Panjai”, UNIMAS terus memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti melalui pendidikan, interaksi dan penglibatan secara langsung, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
