KOTA SAMARAHAN, 31 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), melalui Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), sekali lagi berganding bahu dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan untuk memperkasakan Bahasa Melayu SPM 100 orang pelajar dari empat sekolah menengah di daerah itu. Kerjasama erat berkenaan diterjemahkan menerusi Program Kolaboratif Bahasa Melayu SPM UNIMAS-PPD Simunjan Siri II: 2026 yang memfokuskan kepada kumpulan pelajar sasaran gred B untuk menjadi calon gred A dalam SPM 2026.
Program tahun ini merupakan kelanjutan daripada siri program sebelumnya iaitu Program Kolaboratif Bahasa Melayu SPM UNIMAS–PPD Simunjan Siri I yang dadakan pada 30 Julai 2025. Program yang lepas telah membantu 147 pelajar di garisan gagal-lulus. Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, ketika itu menyifatkannya sebagai usaha memperkasakan masyarakat luar bandar melalui pendidikan.
Dalam tahun yang sama, seramai 240 pelajar dari sekolah yang sama mengikuti Kem Sci-Math SEEP 2025 anjuran PPD Simunjan di UNIMAS, dengan kerjasama serta koordinasi FPBK. Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sains Sosial) JPN Sarawak, Edwin Apok, menegaskan bahawa “kerjasama strategik antara PPD Simunjan dan universiti seperti UNIMAS sangat penting bagi JPN Sarawak untuk membantu pelajar-pelajar luar bandar seperti Simunjan mendapat akses pendidikan terbaik sebagaimana bandar”.



Program kedua ini berpandukan kepada analisis penilaian AR2 Calon SPM 2026. Data bagi daerah Simunjan menunjukkan 140 calon memperoleh gred B dalam ujian Bahasa Melayu. Angka tersebut mewakili kelompok besar pelajar berpotensi tinggi yang hanya memerlukan strategi yang tepat untuk melonjak ke gred A. Laporan ketua-ketua Panitia Bahasa Melayu pula mendapati bahawa semua pelajar mampu membaca, namun ramai yang masih bergelut untuk memahami kehendak soalan kefahaman dan penulisan.
Berdasarkan keperluan tersebut, program ini dirangka khusus untuk memperkukuh teknik penulisan karangan Bahasa Melayu SPM Kertas 1 Bahagian A dan B yang berbentuk stimulus, yang menuntut penguasaan teknik menjawab, kemahiran membaca dan, paling utama, kemahiran mengarang. Objektifnya adalah untuk mempertajam kesediaan pelajar agar mereka dapat menghadapi SPM 2026 dengan keyakinan yang setara dengan calon di mana-mana sekolah sekalipun.
Sesi dikendalikan oleh Muhammad Qhidir Mat Isa, Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi, Seksyen Bahasa Melayu, FPBK, yang membawa pengalaman beliau sebagai Editor Parlimen Malaysia, Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Komunikasi, Munsyi Dewan dan Munsyi Muda JPA terus ke bilik darjah luar bandar.
Modul beliau yang berasaskan bukti bermula dengan analisis soalan SPM 2020–2025, yang menunjukkan tema Pendidikan, Pembangunan Murid dan Kerjaya paling kerap disoal (24 peratus). Berpandukan dapatan itu, pelajar dibimbing membina wacana yang utuh dan berkohesi melalui panduan penulisan dan pengolahan naratif karangan yang bersandarkan Teori Puitika Sastera Melayu (1987) karya Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, di samping teknik tatabahasa binari, peleburan dan scaffolding.
“Pelajar gred B sudah memiliki teknik. Yang membezakan mereka daripada calon gred A ialah strategi, kerana strategi menjimatkan fokus dan masa,” kata penceramah berkenaan.
Program kali ini menghimpunkan seramai 40 pelajar SMK Simunjan No. 1 serta masing-masing 20 pelajar dari SMK Sri Sadong, SMK Gedong dan SMK Sebuyau, iaitu empat buah sekolah luar bandar, dengan diiringi lapan orang guru. Turut hadir wakil PPD Simunjan dan pengurusan SMK Simunjan No. 1.
UNIMAS secara berterusan menterjemahkan visinya sebagai universiti global terkemuka bagi masa depan yang lestari, serta misinya untuk meningkatkan impak sosial dan ekonomi kepada komuniti melalui kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan jalinan strategik.


Di peringkat fakulti, FPBK berpegang pada visi menerajui kecemerlangan dalam pendidikan, bahasa dan komunikasi, serta misi memajukan ilmu dalam bidang tersebut demi pembangunan komuniti yang lestari. Berakar daripada Pusat Pengajian Bahasa yang ditubuhkan pada tahun 1993, fakulti ini dinamakan semula sebagai Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi pada Ogos 2023 dengan penambahan program pendidikan, sekali gus memperteguh peranannya sebagai fakulti teras UNIMAS dalam memperjuangkan SDG4: Pendidikan Berkualiti, iaitu pendidikan yang inklusif dan saksama, khususnya bagi sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.
FPBK yakin program ini mampu merapatkan jurang pencapaian dengan membantu calon gred sederhana melonjak ke gred A. FPBK komited untuk terus memperkukuh kerjasama UNIMAS dengan pejabat-pejabat pendidikan daerah di lapangan dengan matlamat bersama iaitu memastikan setiap pelajar, termasuk di kawasan luar bandar seperti Simunjan, berhak menikmati peluang pendidikan yang terbaik.