November 10, 2026
55e50e61-ed1f-4db7-aed8-37048cc36bcd

Disediakan oleh: Penyelaras Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) En. Muhd Syahazizamir Sahmat

KOTA SAMARAHAN, 2 November 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melakar satu lagi detik bersejarah dalam pembangunan pendidikan tinggi apabila seramai 33 graduan sulung Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian diraikan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-30, yang berlangsung pada Sidang Kedua.

Pencapaian tersebut menjadi mercu tanda penting kepada program berkenaan yang mula dirancang pada tahun 2019 sebelum direalisasikan melalui pengambilan kohort pertama pada tahun 2022. Setelah melalui empat tahun pengajian, kumpulan perintis ini akhirnya mencatat sejarah sebagai graduan pertama program berkenaan.

Menurut Ketua Jabatan Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), UNIMAS, Prof. Dr. Zaimuarifuddin Shukri bin Nordin, perancangan penubuhan Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian telah bermula seawal tahun 2019 di Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM).

Perancangan tersebut akhirnya berjaya direalisasikan pada tahun 2022 melalui pengambilan kohort pertama program berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa penubuhan program ini bertujuan menyokong pembangunan pendidikan Islam di Sarawak, khususnya dalam konteks aspirasi dasar 90:10, di samping memperluas peluang kepada masyarakat untuk mengikuti pengajian tinggi dalam bidang Pendidikan Islam.

Sebagai program yang ditawarkan melalui saluran pasaran terbuka (open market), penawaran program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila lebih 200 permohonan diterima bagi pengambilan kohort pertama.

Pemilihan calon dilaksanakan melalui proses saringan yang merangkumi ujian dan temu duga bagi memastikan kesesuaian serta kesediaan calon mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan.

Pada tahun 2023, program berkenaan kemudiannya ditempatkan di FPBK susulan penubuhan Jabatan Pendidikan di fakulti tersebut, sekali gus memperkukuh pembangunan akademik dan pengurusan program dalam bidang pendidikan di UNIMAS.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Dr. Dilah bin Tuah, menyifatkan graduasi kohort sulung Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian sebagai satu pencapaian bersejarah dan amat bermakna kepada fakulti.

Menurut beliau, perkembangan program yang pada awalnya ditawarkan di FSKPM sebelum ditempatkan di FPBK mencerminkan komitmen berterusan UNIMAS dalam memperkukuh bidang pendidikan serta memperluas peluang pengajian Pendidikan Islam, khususnya di Sarawak.

“Sebagai kohort perintis, graduan ini telah memainkan peranan penting dalam membina asas dan identiti program. Saya berharap mereka bukan sahaja menjadi pendidik yang cemerlang dalam pengajaran, tetapi juga mampu membentuk sahsiah, menerapkan nilai murni dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dalam konteks kepelbagaian budaya dan agama di Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan tersebut diharapkan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pencapaian Program Pendidikan Islam UNIMAS pada masa hadapan.

Kejayaan kohort sulung ini turut diserikan dengan pencapaian membanggakan apabila dua graduan Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian menerima pengiktirafan menerusi anugerah peringkat Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi.

Graduan Nurfatihah Syamimi binti Abdul Hadi menerima Anugerah Bitara Akademik, manakala Nurzurieyana binti Kasri menerima Anugerah Citra Lestari.

Pengiktirafan tersebut menjadi antara pencapaian penting kohort pertama dan mencerminkan potensi graduan Program Pendidikan Islam UNIMAS dalam pelbagai aspek pembangunan diri.

Selain pencapaian akademik dan pengiktirafan di peringkat fakulti, kohort sulung ini juga aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan program komuniti sepanjang tempoh pengajian.

Penglibatan tersebut memberikan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan, kemahiran komunikasi, kepimpinan dan nilai pendidikan Islam dalam konteks kehidupan masyarakat sebenar.

Dalam pada itu, Penyelaras Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian, En. Muhd Syahazizamir bin Sahmat, menyifatkan kejayaan 33 graduan sulung sebagai satu pencapaian yang amat bermakna dalam perjalanan pembangunan program.

“Melihat perkembangan pelajar kohort pertama daripada hari mereka memulakan pengajian sehingga berjaya diraikan sebagai graduan sulung merupakan satu pengalaman yang amat bermakna. Mereka bukan sahaja menjadi kumpulan perintis, malah turut menyumbang kepada pembentukan identiti dan budaya akademik Program Pendidikan Islam UNIMAS,” – Penyelaras Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) En. Muhd Syahazizamir bin Sahmat .

Menurut beliau, antara perkara yang paling membanggakan ialah perkembangan pelajar sepanjang empat tahun pengajian, bukan sahaja dari aspek akademik, malah dalam pembentukan sahsiah, kemahiran pedagogi, kepimpinan dan kesediaan memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik.

Beliau menjelaskan bahawa keunikan program ini terletak pada usaha melahirkan bakal guru Pendidikan Islam yang bukan sahaja mempunyai penguasaan ilmu agama yang kukuh, tetapi turut dilengkapi kemahiran pedagogi, kecekapan menggunakan teknologi pendidikan serta penghayatan terhadap nilai dan etika profesionalisme keguruan.

“Hasrat kami adalah untuk melahirkan bakal guru Pendidikan Islam yang bukan sahaja mahir dalam pengajaran dan penggunaan teknologi, tetapi juga memiliki roh dan jiwa seorang pendidik yang sebenar. Penguasaan ilmu dan kemahiran perlu bergerak seiring dengan nilai keikhlasan, amanah, integriti serta tanggungjawab dalam mendidik generasi akan datang,” jelas beliau.

Menurutnya, penglibatan aktif pelajar dalam program komuniti turut menjadi antara elemen penting dalam membentuk bakal pendidik yang prihatin terhadap keperluan masyarakat, berkemahiran berkomunikasi dan mampu menyesuaikan pendekatan pendidikan dengan kepelbagaian latar belakang masyarakat di Sarawak.

Seiring dengan perkembangan program, UNIMAS kini telah menerima lima kohort pengambilan Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian sejak tahun 2022.

Perkembangan ini mencerminkan kesinambungan usaha universiti dalam memperluas akses pengajian Pendidikan Islam di peringkat ijazah sarjana muda, khususnya bagi memenuhi keperluan pembangunan pendidikan dan masyarakat di Sarawak.

Kejayaan melahirkan 33 graduan sulung pada Istiadat Konvokesyen UNIMAS Ke-30 ini bukan sahaja menjadi kebanggaan graduan dan keluarga, malah turut melambangkan hasil komitmen berterusan pihak pengurusan universiti, kepimpinan fakulti, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, para pensyarah serta staf sokongan yang terlibat dalam pembangunan dan pelaksanaan program.

Pencapaian bersejarah ini diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan UNIMAS dalam melahirkan graduan Pendidikan Islam yang kompeten, berintegriti, menguasai teknologi pendidikan, memiliki kemahiran pedagogi serta berjiwa pendidik dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya di negeri Sarawak.