October 9, 2026

Kota Samarahan, 9 Oktober 2026 – Kemeriahan arena sukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus membara apabila Pertandingan Karom Beregu Terbuka UNIMAS 2026 (Edisi ke-3) berjaya menghimpunkan sebanyak 112 pasukan dalam saingan sengit yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pavilion, UNIMAS pada 27 September lepas.

Penganjuran kejohanan anjuran Kelab Karom UNIMAS (UNIMACC) ini mencatatkan penyertaan yang amat meriah. Kejohanan tahunan ini menyaksikan penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang merangkumi staf dan pelajar UNIMAS, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), serta masyarakat awam yang hadir mempamerkan bakat dan semangat kesukanan yang tinggi.

Majlis diseri dengan ucapan rasmi daripada Encik Awang Arshad bin Awang Kamis, Pengarah Arena Tun Tuanku Haji Bujang UNIMAS, yang merakamkan penghargaan dan syabas atas semangat juang yang ditunjukkan oleh kesemua peserta. Manakala, sesi penyampaian hadiah bagi mengiktiraf para pemenang telah disempurnakan oleh Penasihat UNIMACC, Profesor Dr. Azhaili bin Baharun.

Saingan sengit sepanjang hari tersebut menyaksikan Pasukan POK’S D cemerlang dinobatkan sebagai Johan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,200 beserta medal kejayaan. Gelaran Naib Johan pula diraih oleh Pasukan DARUL HANA PETIR yang membawa pulang hadiah wang tunai RM700 beserta medal. Sementara itu, Pasukan BAJANRAN dan Pasukan P’MAI BROTHERS berpuas hati berkongsi kedudukan di tempat Ketiga Bersama, dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM300 beserta medal.

Prestasi wakil tuan rumah turut mencuri tumpuan menerusi aksi konsisten yang ditunjukkan oleh barisan pemain UNIMACC. Pasukan UNIMACC SERIAN yang diwakili oleh Puan Hanriatta Amis dan Encik Afizulhadi, serta pasukan UNIMACC MARVICK yang dibarisi oleh Encik Azlan bin Drahim dan Encik Ismail, berjaya mempamerkan permainan mantap sehingga melangkah ke peringkat Top 16. Lebih membanggakan, sebuah lagi pasukan wakil universiti iaitu UNIMACC NS, yang diwakili oleh Encik Nawawi bin Muhamad dan Encik Sulaiman bin Juma’at, membuktikan keupayaan mereka apabila berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir (Top 8).

Kejayaan penganjuran Edisi ke-3 ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara warga kampus dan masyarakat luar, malah membuktikan iltizam UNIMAS dalam menyemarakkan gaya hidup aktif, semangat kesukanan, serta kecemerlangan holistik warga universiti.