October 9, 2026

KOTA SAMARAHAN, 8 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menganjurkan Siri Inspirasi Kesejahteraan 2026 dan Bengkel Selari: Kursus Pra Persaraan 2026 bertemakan “Menyemai Budaya Kerja Sejahtera” baru-baru ini di DeTAR PUTRA UNIMAS bersempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera setiap Oktober dengan penyertaan seramai 279 orang warga universiti dan agensi berkaitan.
Program anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar UNIMAS ini merupakan inisiatif universiti dalam memperkukuh kesejahteraan warga kerja secara holistik merangkumi aspek kepimpinan, kesihatan mental, pembangunan diri, keseimbangan kehidupan dan kerjaya serta persediaan menghadapi fasa persaraan melalui sesi dialog, ceramah dan perkongsian.
Majlis perasmian Siri Inspirasi Kesejahteraan 2026 telah disempurnakan oleh Pendaftar UNIMAS, Tuan Haji Azlan Ramli. Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan mewujudkan budaya kerja yang bukan sahaja berorientasikan prestasi, malah turut memberi penekanan kepada kesejahteraan dan pembangunan insan warga universiti.
Program tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan menerusi dua sesi forum dialog yang membincangkan isu-isu semasa berkaitan kesejahteraan warga kerja. Dialog pertama bertajuk “Memanusiakan Kepimpinan: Mengimbangi Prestasi dan Kesejahteraan Warga Kerja” yang mengetengahkan kepentingan kepimpinan yang berteraskan empati, kepercayaan dan keseimbangan antara pencapaian organisasi dengan kebajikan warga kerja.
Dialog kedua pula bertajuk “Kesejahteraan Warga Kerja: Memupuk Insan, Memacu Kecemerlangan” menekankan peranan kesejahteraan holistik dalam meningkatkan produktiviti, motivasi dan kecemerlangan organisasi. Kedua-dua sesi dialog berkenaan berjaya mencetuskan perbincangan yang konstruktif serta perkongsian pandangan yang bernas dalam kalangan panel dan peserta mengenai strategi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, inklusif dan mampan.
Kemuncak program adalah sesi Inspirasi Kesejahteraan bersama Fazeera Nazri Azrai, seorang influencer dan penceramah yang dikenali ramai. Melalui perkongsian bertemakan “Mencari Bahagia dalam Kehidupan dan Pekerjaan”, beliau mengajak peserta untuk mengenali diri, menghargai perjalanan hidup, membina perspektif positif serta mencari makna dan keseimbangan dalam kehidupan. Penyampaian yang santai, autentik dan dekat dengan realiti kehidupan berjaya meninggalkan impak yang mendalam kepada para peserta.
Sebagai nilai tambah kepada program, turut diadakan Pertandingan Poster Inovasi Kesejahteraan Minda sempena Siri Inspirasi Kesejahteraan UNIMAS 2026 yang mempamerkan pelbagai inisiatif dan amalan terbaik berkaitan kesejahteraan serta pembangunan warga kerja. Pertandingan tersebut telah dinilai oleh panel juri profesional yang terdiri daripada wakil institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan pakar kaunseling. Lebih membanggakan apabila kesemua penyertaan berjaya memperoleh penarafan Emas, sekali gus membuktikan komitmen dan kreativiti warga UNIMAS dan agensi luar dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada kesejahteraan organisasi.

Sementara itu, Bengkel Selari: Kursus Pra Persaraan 2026 turut berlangsung di Galeri DeTAR PUTRA UNIMAS pada sebelah pagi. Bengkel tersebut memberi pendedahan menyeluruh kepada bakal pesara mengenai skim pencen sektor awam, kemudahan perubatan pasca persaraan serta dokumentasi persaraan. Encik Tan Hang Keng, Penolong Pengarah Unit Prosesan Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak telah dijemput untuk memberi ceramah dan perkongsian mengenai skim pencen. Sesi tersebut memberi fokus kepada persediaan menyeluruh dari aspek kewangan, emosi, fizikal dan sosial bagi membantu peserta melihat persaraan sebagai satu peluang untuk memulakan fasa kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera.
Kejayaan penganjuran Siri Inspirasi Kesejahteraan 2026 dan Bengkel Selari: Kursus Pra Persaraan 2026 mencerminkan komitmen berterusan UNIMAS dalam memupuk budaya kerja yang sejahtera, progresif dan berteraskan nilai kemanusiaan. Program ini diharap dapat memperkasakan warga universiti dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta kehidupan dengan lebih positif, seimbang dan bermakna.