May 15, 2026

Sejarah Awal dan Penempatan Melayu Saribas

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak melalui Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif akan menganjurkan Seminar Warisan Kesultanan Melayu: Sejarah Awal dan Penempatan Melayu Saribas pada 7 Mei 2026 (Khamis) bertempat di Auditorium Borneo Cultures Museum dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Program ilmiah ini dianjurkan oleh pelajar Tahun 3 Program Pengurusan Seni di bawah kursus GKP3253 Seminar Pengurusan Seni sebagai satu inisiatif untuk memperkasa pemahaman masyarakat terhadap sejarah Kesultanan Melayu Saribas serta kepentingan pemeliharaan warisan budaya tempatan.

Seminar ini menampilkan panel penceramah jemputan, Dr. Abang Ismail bin Haji Abang Julhi, yang akan berkongsi ilmu berkaitan sejarah awal, perkembangan penempatan masyarakat Melayu Saribas serta sumbangan warisan tersebut kepada identiti negeri Sarawak masa kini.

Menurut pihak penganjur, seminar ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai sejarah tempatan, malah menjadi platform kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran pengurusan acara, komunikasi profesional, dokumentasi dan kerjasama berpasukan dalam suasana sebenar penganjuran program.

Antara objektif utama seminar ini adalah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara warisan budaya, memupuk minat generasi muda terhadap sejarah tempatan serta mengeratkan jaringan antara institusi pendidikan, pakar sejarah dan komuniti setempat.