Seni Bina Istana Kesultanan Melayu Kuching
KUCHING: Lebih 100 orang peserta telah menghadiri seminar Warisan Kesultanan Melayu: Seni Bina Istana Kesultanan Melayu Kuching, yang telah diadakan di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Sabtu lepas.
Seminar tersebut adalah yang ketiga selepas seminar Sejarah Awal dan Penempatan Melayu Saribas dan Seni Bina Istana Kesultanan Kalimantan Barat,  yang telah diadakan sebelum ini, dan merupakan anjuran pelajar Tahun 3 Program Pengurusan Seni di bawah kursus GKP3253 seminar pengurusan seni, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS.
Objektif utama seminar adalah sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan warisan budaya di samping memberi pendedahan akademik kepada pelajar dan komuniti setempat mengenai nilai sejarah serta identiti budaya tempatan.
Seminar ini telah menampilkan panel penceramah jemputan, Dr. Mardiah Binti Haji Ramli dan Awang Mohammad Faisal Bin Haji Mat Salleh, yang akan berkongsi ilmu berkaitan sejarah awal dan keunikan seni bina Istana Kesultanan Melayu Kuching serta memperkenalkan kepentingan pemeliharaan warisan budaya kepada masyarakat umum.
Menurut pihak penganjur, seminar ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai sejarah tempatan, malah menjadi platform kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran pengurusan acara, komunikasi profesional, dokumentasi dan kerjasama berpasukan dalam suasana sebenar penganjuran program.
Antara objektif utama seminar ini adalah menganalisis perkembangan sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Kuching dalam konteks sejarah dan masyarakat di Sarawak, mengenal pasti ciri-ciri seni bina bangunan bersejarah termasuk fungsi ruang dan kedudukan strategik serta menilai kepentingan pemeliharaan warisan sejarah serta hubungannya dengan pembelajaran akademik semasa.



