June 10, 2024

Badan Budaya UNIMAS (BAYU) sekali lagi telah melakar kecemerlangan dalam bidang kesenian dan kebudayaan di peringkat kebangsaan setelah berjaya meraih anugerah dalam Majlis Anugerah Seni MAKUM sesi 2022/2023 anjuran Majlis Kebudayaan Universiti – Universiti Malaysia (MAKUM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru – baru ini.

Majlis Anugerah Seni MAKUM sesi 2022/2023 tersebut telah berlangsung di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada 5 Jun 2024.

Majlis yang diadakan secara dwi tahunan ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar, pegawai MAKUM dan agensi-agensi yang telah menunjukkan dedikasi, kreativiti dan inovasi dalam pelbagai aspek demi menyemarakkan kebudayaan dan kesenian di segenap peringkat. Ini adalah seiring dengan peranan MAKUM untuk membentuk pelajar dan masyarakat dalam mengalakkan kreativiti dan inovasi, meningkatkan kesedaran dan apresiasi seni, mengukuhkan jaringan dan kerjasama dan membentuk masyarakat berbudaya.

“Anugerah ini bukti pencapaian kejayaan dan kecemerlangan Universiti dalam penganjuran aktiviti kebudayaan.”

Pengiktirafan Anugerah MAKUM ini dinilai berdasarkan kepada bukti pencapaian kejayaan dan kecemerlangan sesebuah universiti – universiti Malaysia dalam pertandingan dan festival yang dianjurkan di peringkat MAKUM, negeri dan antarabangsa sepanjang tahun 2022 dan 2023.

BAYU telah memenangi Anugerah Gong Kencana MAKUM Emas. Anugerah ini adalah anugerah kebudayaan dan kesenian universiti awam terbaik keseluruhan dan menunjukkan pengelibatan penganjuran, penyertaan dan pencapaian yang cemerlang serta membanggakan sepanjang tahun 2022/2023.

Pada majlis terebut juga, BAYU juga telah menerima Anugerah Kategori Bonang Emas (kategori lelaki) yang telah dimenangi Andre Flo Tuloi Anak Lagok pelajar dari program Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan (FK) manakala Anugerah Kategori Bonang Emas (kategori wanita) dimenangi oleh Aina Farhana Binti Al-Khalid juga merupakan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan (FK), program Elektrikal & Elektronik. Anugerah ini diberikan kepada pelajar yang bergiat aktif dan menunjukkan kecemerlangan di dalam seni dan budaya di dalam dan luar negara sepanjang tahun 2022/2023.

Selain itu, Anugerah Gambang Mustika pula telah dianugerahkan kepada Badan Budaya UNIMAS (BAYU) dan diwakili oleh Nur Saidatul Najwa’a binti Shariff, selaku Presiden BAYU. Beliau juga merupakan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan, program Kejuruteraan Sivil. Anugerah ini diberikan kepada kumpulan kebudayaan dan kesenian universiti awam yang menunjukkan pengelibatan dan pencapaian yang cemerlang sepanjang tahun 2022/2023.

Kejayaan yang diperolehi pada malam tersebut menjadi satu titik tolak kepada pelajar – pelajar lain agar lebih aktif dan bersemangat tinggi demi meraih lebih banyak lagi anugerah pada masa akan datang untuk BAYU khasnya dan UNIMAS amnya.

Majlis penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidik Tinggi, Yang Berbahagia Prof. Dr. Azlinda Azman.

Turut hadir pada majlis gilang gemilang tersebut ialah YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan bin Mohd. Sadullah, Naib Canselor UPM, Naib-Naib Canselor Universiti Awam, YBhg. Prof. Ir. Dr. Al-Khalid bin Hj. Othman (Timbalan Naib Canselor hal Ehwal Pelajar & Alumni UNIMAS), Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Awam, Penggiat Seni dan Pemain Seni Tempatan.

image_printPrint Article/Press Release