August 16, 2026

Kota Samarahan: Sesi Pertukaran Nota Kerjasama Strategik di antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah diadakan sempena Majlis Peluncuran Healthcare Engineering Services Competency Standard – Healthcare Facility Management (HESCS-HFM) bertempat di Dewan Damar Sari, Putrajaya pada 4 Ogos 2026 lepas.

Sesi penyampaian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada YBrs. Profesor Ir Dr Abdullah Haji Yassin, Dekan Fakulti Kejuruteraan yang mewakili UNIMAS dalam majlis tersebut.

Dalam ucapan beliau, YBhg. Datuk Seri Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia menegaskan bahawa pemerkasaan kompetensi warga kejuruteraan merupakan tunjang kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mampan. Beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan Healthcare Engineering Services Competency Standard – Healthcare Facility Management (HESCS-HFM) merupakan satu langkah strategik dalam membudayakan penilaian dan pembangunan bakat berasaskan kompetensi, memperkukuh profesionalisme, tadbir urus fasiliti kesihatan serta pengiktirafan kepakaran warga teknikal. Kerjasama strategik ini turut membuka peluang kepada UNIMAS untuk memperkukuh peranannya sebagai institusi rujukan dalam bidang kejuruteraan penjagaan kesihatan melalui kolaborasi akademik, penyelidikan, pembangunan kompetensi serta pemindahan ilmu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan impak universiti di peringkat nasional.

Kerjasama ini merangkumi perkongsian kepakaran dan amalan terbaik, pembangunan standard, modul latihan dan dokumen teknikal, pembangunan kapasiti melalui latihan, kolaborasi penyelidikan dalam bidang kejuruteraan penjagaan kesihatan, serta pelaksanaan aktiviti lain yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa.