Written by Dr Ahmad Syafiq and Gloria Vanetta
KOTA SAMARAHAN, 14 Oktober 2026 – Serambi Komuniti 2026 anjuran Pusat Kelestarian Universiti Malaysia Sarawak telah berjaya dilaksanakan pada 14 Oktober 2026 bertempat di Bilik Serindit, DeTAR PUTRA UNIMAS, bersempena dengan Borneo INTEX SE 2026 X Festival of Ideas Sarawak (FOI@Sarawak).
Program ini menjadi platform untuk memperkenalkan pendekatan Community-Based Participatory Research (CBPR), di samping menyediakan ruang interaksi dan perkongsian pengalaman antara warga akademik, penyelidik, mahasiswa dan wakil komuniti. Antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuk sesi penerangan CBPR, sesi perkongsian pengalaman pelaksanaan projek komuniti dan tinjauan santai bagi mendapatkan pandangan peserta mengenai penglibatan dalam projek komuniti. Melalui penganjuran Serambi Komuniti 2026, UNIMAS berusaha memperluas pemahaman tentang kepentingan penglibatan komuniti dalam penyelidikan dan pembangunan program yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.

Sesi penerangan CBPR telah disampaikan oleh mentor yang diperakui oleh UNESCO, iaitu Profesor Madya Ts. Noraziah binti Abdul Wahab, Profesor Madya Dr Rafeah binti Wahi, Dr Ahmad Syafiq bin Ahmad Nasir dan Encik Haslan bin Ottot. Perkongsian tersebut memberikan pendedahan kepada warga akademik dan penyelidik UNIMAS mengenai kepentingan pendekatan penyelidikan yang melibatkan komuniti secara aktif sebagai rakan kerjasama, bukannya sekadar sebagai responden atau penerima manfaat. Pendekatan CBPR menekankan penglibatan bersama dalam mengenal pasti isu, merancang penyelesaian, melaksanakan tindakan dan menilai hasil penyelidikan agar manfaat yang dihasilkan lebih bersesuaian dengan keperluan sebenar masyarakat.




Selain sesi penerangan, Pusat Kelestarian Universiti Malaysia Sarawak turut menjemput 3 wakil komuniti dan seorang pelatih CBPR yang berpengalaman dalam pelaksanaan projek komuniti untuk berkongsi pengalaman dan pandangan bersama warga UNIMAS. Mereka ialah Encik Amiruddin Abdullah dari Kampung Sapit, Puan Sinah anak Dihoi dan Encik Joseph anak Jiep dari Kampung Peros, serta Puan Mai Sumiyati binti Ishak, Ketua Projek Komuniti yang dilatih oleh UNIMAS dalam CBPR.


Antara aktiviti yang dijalankan semasa sesi perkongsian ini iaitu sesi pengenalan bersama komuniti dan penceramah, aktiviti bermain lego, aktiviti melukis dan menulis bebas untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan idea berdasarkan penglibatan mereka dalam projek komuniti. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja membantu pihak Pusat Kelestarian Universiti Malaysia Sarawak untuk mengenal pasti cadangan dan idea baru daripada komuniti bahkan meningkatkan hubungan silaturahim dan meluaskan jaringan kenalan dan rangkaian profesional bersama komuniti. Serambi Komuniti berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman sebenar masyarakat.


Di samping itu, aktiviti tinjauan santai yang dijalankan di luar Bilik Serindit telah menarik perhatian mahasiswa UNIMAS dan para pengunjung yang hadir ke program tersebut. Berdasarkan maklum balas yang diterima, kebanyakan responden menyatakan bahawa mereka kurang mengetahui saluran yang sah untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang penglibatan dalam projek komuniti. Tahap pengetahuan mengenai CBPR juga secara umumnya dinilai sederhana oleh responden. Dapatan tinjauan ini memberikan gambaran awal tentang keperluan untuk memperluas penyebaran maklumat, meningkatkan kesedaran dan menyediakan saluran komunikasi yang lebih mudah diakses berkaitan projek komuniti UNIMAS. Sehubungan itu, Pusat KelestarianUniversiti Malaysia Sarawak komited untuk memperluas hebahan mengenai projek komuniti UNIMAS serta menggalakkan lebih banyak peluang penglibatan mahasiswa, penyelidik dan masyarakat. Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman tentang peranan universiti dalam memenuhi keperluan setempat.


Secara keseluruhannya, Serambi Komuniti 2026 bukan sahaja menjadi ruang perkongsian ilmu dan pengalaman, malah berpotensi menjadi platform berterusan untuk memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti melalui pendekatan penyelidikan yang lebih inklusif, penyertaan dan berorientasikan keperluan masyarakat. Diharapkan program ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak projek komuniti berimpak tinggi yang mengutamakan suara dan penglibatan masyarakat, memperkukuh perkongsian kepakaran serta menyokong pembangunan komuniti yang mampan. Melalui kerjasama strategik antara universiti, agensi dan komuniti, UNIMAS terus berusaha memastikan ilmu dan kepakaran yang dimiliki dapat diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna demi kesejahteraan masyarakat.