November 27, 2026
PHOTO-2026-11-27-14-27-45 (2)

Disediakan oleh: Fatin Ardani binti Zamri

KUCHING, 26 November 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi telah mengadakan lawatan pendidikan ke industri dan sesi Training of Trainers (ToT) di Hornbill Skyways Sdn. Bhd. bagi menjayakan Projek PINTAR-AI (Programme for Innovation, Navigation, Technology, Aviation and Robotics with Artificial Intelligence).

Lawatan tersebut disertai oleh dua orang pensyarah UNIMAS bersama 15 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar UNIMAS. Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta berkaitan industri penerbangan serta mempersiapkan fasilitator untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran STEM kepada pelajar sekolah di Sarawak pada Januari 2027 akan datang.

Projek PINTAR-AI merupakan inisiatif di bawah program Future Digital Leaders: STEM & AI yang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dalam pelaksanaan projek ini, UNIMAS memilih bidang penerbangan (aviation) sebagai skop utama pembelajaran bagi memberikan pendedahan kepada pelajar tentang aplikasi konsep STEM melalui industri penerbangan. Bidang ini menawarkan pelbagai peluang pembelajaran yang menarik termasuk penerapan prinsip sains, matematik dan teknologi dalam operasi penerbangan disamping aplikasi Kecerdasan Buatan Generatif (AI).

UNIMAS berhasrat untuk menjalin kerjasama strategik dengan pihak industri penerbangan bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan berasaskan situasi sebenar.

Selain itu, UNIMAS turut berusaha membangunkan modul Pendidikan Penerbangan (Aviation Education). Modul ini merupakan pembelajaran khusus berkaitan penerbangan yang diselaraskan melalui kurikulum dan buku teks Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Modul ini diharapkan dapat membantu pelajar memahami konsep penerbangan secara lebih sistematik serta menghubungkaitkan pembelajaran di bilik darjah dengan aplikasi dalam industri.

Melalui pelaksanaan Projek PINTAR-AI, UNIMAS berharap dapat memperluas akses pelajar kepada pembelajaran STEM yang inovatif, sekali gus memupuk minat terhadap bidang penerbangan, teknologi dan kecerdasan buatan generatif (AI) sejak di peringkat sekolah.