October 16, 2026

Written by Dr Ahmad Syafiq and Gloria Vanetta

KOTA SAMARAHAN, 14 Oktober 2026 – Bersempena dengan Borneo INTEX SE 2026 X Festival of Ideas Sarawak (FOI@Sarawak), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) meraikan pencapaian cemerlang warga akademik dan penyelidiknya dalam melaksanakan projek komuniti yang memberikan impak signifikan kepada masyarakat. Sebanyak 71 projek komuniti yang dilaksanakan pada tahun 2025 merangkumi 6 kategori program telah memperoleh penarafan MyRA 3 bintang dan ke atas. Projek-projek tersebut terdiri daripada 25 projek Service Learning Malaysia (SULAM), 8 projek Community Resilience Experiential Learning (CARE), 20 projek Kampung Angkat MADANI 2025 (KAM), 7 projek Sekolah Angkat MADANI 2025 (SAM), 9 projek UniMADANI 2025 dan 2 projek Yayasan Hasanah 2025.

Malaysia Research Assessment (MyRA) merupakan instrumen penilaian yang digunakan untuk mengukur pencapaian dan kecemerlangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam bidang Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDC&I). Penilaian ini menggunakan pendekatan berasaskan input, proses dan output (IPO), termasuk aspek hasil serta impak, bagi menilai pencapaian institusi berdasarkan kriteria dan tanda aras yang ditetapkan. Antara aspek yang dinilai ialah kualiti dan kuantiti penyelidik serta penyelidikan, inovasi, perkhidmatan profesional, jaringan kerjasama dan kemudahan sokongan.

Penarafan MyRA ini mencerminkan usaha berterusan UNIMAS dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi, di samping memperluas pemindahan ilmu serta kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak industri dan komuniti setempat. Pencapaian 71 projek komuniti tersebut turut memperlihatkan komitmen warga akademik dan penyelidik UNIMAS untuk menterjemahkan kepakaran serta ilmu pengetahuan kepada inisiatif yang memenuhi keperluan sebenar masyarakat.

Melalui pelaksanaan projek SULAM, CARE, KAM, SAM, UniMADANI dan Yayasan Hasanah, pendekatan penglibatan komuniti dapat diperkukuh melalui perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti masyarakat, penyelesaian isu setempat dan pembentukan hubungan kerjasama yang berterusan. Inisiatif ini juga membuka ruang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti, mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar serta memupuk nilai tanggungjawab sosial dan kesukarelawanan.

Pencapaian ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian projek komuniti agar setiap inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja mencapai objektif yang ditetapkan, malah menghasilkan manfaat yang boleh dirasai dan dikekalkan oleh masyarakat dalam jangka panjang.

Pihak UNIMAS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima pengiktirafan serta warga akademik, penyelidik, mahasiswa dan rakan kerjasama komuniti yang telah menyumbang kepada kejayaan ini. Semoga pengiktirafan tersebut terus menyemarakkan semangat warga UNIMAS untuk menghasilkan lebih banyak inisiatif berimpak tinggi, memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta pembangunan negara yang mampan.