Kota Samarahan: Temasya Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Sarawak 2026 telah berlangsung dengan meriah dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026, dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) selaku tuan rumah berjaya menghimpunkan sebanyak 28 kontinjen institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh Sarawak.
Penganjuran Sukan IPT Sarawak 2026 merupakan kerjasama antara UNIMAS dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sejajar dengan Dasar Sukan KPT bagi Kluster Borneo dalam usaha memperbanyakkan pertandingan kompetitif di peringkat IPT serta memperkukuh pembangunan sukan dalam kalangan mahasiwa.
Majlis perasmian temasya tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, YBrs. Encik Ahmad Rizal Bin Adnan, dalam satu majlis yang berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS YBhg Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Puan Fazidah Mustafa.
Penyertaan kontinjen pada edisi tahun ini turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, sekaligus mencerminkan sambutan dan komitmen yang semakin menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi terhadap penganjuran Sukan IPT Sarawak. Peningkatan penyertaan ini turut memperlihatkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh landskap Sukan IPT di Sarawak.
Dalam saingan keseluruhan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya mencatatkan prestasi cemerlang apabila muncul sebagai juara keseluruhan dengan kutipan sebanyak 442 mata. Kejayaan tersebut disumbangkan menerusi pencapaian 12 pingat emas, 2 pingat perak dan 3 pingat gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 17 pingat yang berjaya diraih oleh kontinjen UNIMAS. Politeknik Kuching Sarawak pula meraih tempat kedua dengan mengumpul sebanyak 308 mata, hasil pencapaian 4 pingat emas, 3 pingat perak dan 6 pingat gangsa. Sementara itu, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPG KTAR) melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan berada di tempat ketiga, setelah mengumpul 302 mata menerusi 2 pingat emas, 7 pingat perak dan 5 pingat gangsa.
Secara keseluruhannya, Sukan IPT Sarawak 2026 membuktikan bahawa sukan menjadi medium penting dalam pembangunan mahasiswa serta membuka ruang kepada atlet muda untuk mengembangkan potensi ke peringkat lebih tinggi dan mengharumkan nama institusi masing-masing.


