November 13, 2026

Kota Samarahan, 13 November 2026: Seramai 501 graduan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), diraikan pada Sidang Keenam Majlis Konvokesyen Ke-30 UNIMAS yang berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR Putra, di sini, minggu lepas.

Graduan yang menamatkan pengajian dalam bidang Sains Kognitif, Kaunseling, Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia itu turut menyaksikan pencapaian membanggakan apabila Khairil Amzar bin Khairizal menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang).

Kejayaan itu meneruskan pencapaian FSKPM menerima anugerah berprestij berkenaan selama tiga tahun berturut-turut. Selain itu, seramai 13 graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Fakulti dalam kategori Kepimpinan, Akademik Program, Kokurikulum serta Sosial dan Komuniti.

Antara penerima yang mencuri perhatian ialah Muhammad Amirul Asyraf bin A Ghaman, graduan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori penglihatan yang menerima Anugerah Kecemerlangan Fakulti bagi kategori Kepimpinan Mahasiswa.

Beliau merupakan Senator Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Inklusiviti pertama UNIMAS dan pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa FSKPM (PMFSKPM) sesi 2025/2026.

Seorang lagi graduan, Aliff bin Azmi, turut menjadi inspirasi apabila hadir menerima ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian menggunakan kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Kehadiran beliau membuktikan bahawa cabaran kehidupan bukan penghalang untuk menamatkan perjalanan akademik. Dalam kategori lain, Murshida Haikal binti Mahamud menerima Anugerah Profesor Dr. Razali Arof, manakala lima graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Industri menerusi kerjasama Western Digital dan Maltimur Aktif Unggul JV.

Penerima daripada Western Digital ialah Edda Sarong Chaong, manakala empat penerima daripada Maltimur Aktif Unggul ialah Muhammad Danish Muazzam bin Mohamad Hamdani, Wan Nurulanis binti Wan Ali, Anis Najihah binti Ahmad Nazri dan Connie Yii Ko Yun.

Kejayaan para graduan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, malah menyerlahkan potensi kepimpinan, ketabahan dan keupayaan individu untuk mengatasi cabaran.

Pencapaian tersebut turut menjadi kebanggaan keluarga dan warga fakulti, selain mencerminkan komitmen FSKPM dalam melahirkan graduan berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Pejabat Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)

Fakulti Sains Kognitif & Pembangunan Manusia