KOTA SAMARAHAN : Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan bakat STEM apabila Scienceploration Camp 2026 meraikan sedekad penganjurannya, sekali gus menandakan sepuluh tahun komitmen berterusan universiti dalam menyemai minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Bermula pada tahun 2016, Scienceploration Camp telah berkembang menjadi antara program jangkauan komuniti (community outreach) berimpak tinggi anjuran Pusat Pengajian Pra Universiti (PPPU), UNIMAS, yang menghimpunkan pelajar sekolah menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, penerokaan saintifik dan penyelesaian masalah dunia sebenar.
Penganjuran edisi ke-10 pada tahun ini mengangkat tema “Aeroangkasa”, selaras dengan perkembangan pesat teknologi global serta aspirasi Sarawak ke arah ekonomi berteraskan inovasi, digital dan teknologi tinggi. Keunikan tema tersebut diterjemahkan secara menyeluruh merentasi semua disiplin STEM termasuk Biologi, Fizik, Kimia, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), serta Bahasa Inggeris, sekali gus memperlihatkan bagaimana ilmu daripada pelbagai bidang saling melengkapi dalam menyelesaikan cabaran masa hadapan.
Seramai 114 orang peserta daripada sekolah-sekolah sekitar Kuching dan Samarahan menyertai program yang diadakan baru-baru ini. Antara sekolah yang mengambil bahagian ialah SMK Agama Tun Ahmad Zaidi, SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, Yayasan Sarawak International Secondary School, SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, SMK Green Road, SMK Kota Samarahan, SM Sains Kuching Utara, SMK Batu Lintang dan Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah.
Program ini dibangunkan melalui dua komponen utama, iaitu Science Bootcamp dan Agent of Science, yang mengetengahkan pembelajaran secara aktif menerusi eksperimen, simulasi, cabaran berkumpulan dan penyelesaian masalah berasaskan tema aeroangkasa. Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan kefahaman peserta terhadap konsep STEM, malah membentuk kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, kreativiti, komunikasi, kolaborasi dan kepimpinan.
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit. Turut hadir ialah Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Othman yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Mohd Alhafiizh Zailani, Pengarah Pusat Pengajian Pra Universiti, ChM. Muhamad Akif Aizuddin Jasni, Pengarah Scienceploration Camp 2026 wakil-wakil penaja, tetamu jemputan serta jawatankuasa pelaksana program.
Dalam ucapannya, Naib Canselor berkata sedekad penganjuran Scienceploration Camp membuktikan komitmen berterusan UNIMAS dalam memperkasa pendidikan STEM melalui pendekatan yang menyeronokkan, inklusif dan relevan dengan perkembangan semasa.
Beliau menjelaskan bahawa tema Aeroangkasa bukan sekadar memberi pendedahan kepada dunia penerbangan dan angkasa lepas, malah membuka perspektif peserta terhadap aplikasi teknologi tersebut dalam kehidupan seharian. Di Sarawak, teknologi aeroangkasa kini memainkan peranan penting dalam pemantauan hutan, pertanian pintar, pengurusan bencana, pemetaan kawasan pedalaman, pemantauan alam sekitar serta pembangunan bandar yang mampan.
Menurut beliau lagi, Sarawak sedang melangkah ke arah ekonomi yang dipacu oleh inovasi, teknologi dan tenaga hijau. Perubahan landskap ekonomi ini memerlukan lebih ramai bakat STEM yang mampu menerajui bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi, kecerdasan buatan, ekonomi digital, aeroangkasa dan pengurusan sumber semula jadi secara lestari.
“Program seperti Scienceploration Camp merupakan platform penting dalam menyemai minat terhadap STEM sejak usia muda. Pengalaman pembelajaran secara hands-on, cabaran penyelesaian masalah dan kerja berpasukan yang dilalui peserta hari ini merupakan asas kepada pembentukan saintis, jurutera, penyelidik dan inovator yang akan memacu pembangunan negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan STEM pada hari ini perlu melangkaui bilik darjah dengan memberi ruang kepada pelajar meneroka, bereksperimen dan membina keyakinan melalui pengalaman sebenar. Pendekatan sedemikian selari dengan aspirasi UNIMAS untuk melahirkan modal insan yang kreatif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Scienceploration Camp 2026 turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan rakan industri, antaranya Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Musyati Sdn. Bhd., IEM SAFE UNIMAS, Modern Scientific Sdn. Bhd. dan Universal Reform Sdn. Bhd. Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh pendidikan STEM serta membangunkan generasi muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Memasuki tahun kesepuluh penganjurannya, Scienceploration Camp terus menjadi program pembangunan STEM berimpak tinggi yang memperkukuh hubungan antara universiti, sekolah, industri dan komuniti. Selaras dengan aspirasi UNIMAS sebagai universiti yang mengamalkan pendekatan Community-Driven, program ini akan terus menjadi platform strategik dalam melahirkan generasi yang berfikiran saintifik, berinovasi dan bersedia menerajui pembangunan Sarawak serta Malaysia pada masa hadapan.




