May 26, 2026

BALAI RAYA KAMPUNG SERIKIN

9 MEI 2026 (SABTU)

Kampung Serikin, 9 Mei 2026 – Program Doktor Muda Dalam Komuniti (DMDK) UNIMAS melalui Kursus Kesihatan Keluarga sesi 2025/2026 telah diadakan dengan jayanya di Balai Raya Kampung Serikin dengan penyertaan seramai 153 orang pelajar perubatan tahun satu serta 32 buah keluarga daripada komuniti setempat. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat melalui pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti dan aktiviti service-learning.

Menurut Koordinator Program DMDK UNIMAS, Professor Madya Dr. Azizah binti Azhar, program ini merupakan sebahagian daripada pembelajaran Kursus Kesihatan Keluarga yang memberi peluang kepada para pelajar perubatan untuk mengenalpasti masalah kesihatan komuniti serta merancang intervensi yang bersesuaian bersama keluarga angkat di Kampung Serikin.

Tema bagi lawatan kedua di Kampung Serikin ini ialah “Kemalangan dan Kecederaan”.  Pelbagai aktiviti pendidikan kesihatan telah diadakan bagi memberi pendedahan dan mewujudkan persekitaran rumah yang lebih selamat sekaligus dapat mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan di rumah terutamanya kepada kanak-kanak dan warga emas. Selain itu, pemeriksaan kesihatan percuma, senamaerobik dan pelbagai pameran juga diadakan semasa pelancaran program ini.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Pegawai Daerah Bau, Encik Eddy anak Nayoi di atas kesudian merasmikan program ini. Ucapan terima kasih juga kepada Encik Jepes anak Gobis, Ketua Kaum Kampung Serikin; Encik Sumy anak Lidei, Penghulu Kawasan Zon Jagoi; Pejabat Kesihatan Daerah Bau; Klinik Kesihatan Serasot; Ibu Pejabat Polis Daerah Bau; serta Dr. Donovan Ang Bee Leong selaku penceramah jemputan atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan dalam menjayakan program ini.

Semoga kerjasama strategik yang terjalin ini dapat terus memperkukuhkan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.

Disediakan oleh: Felycia Suly ak Gabriel Tedong dan Dylan Casymir LImpang ak Ryanto