Written by TEGAS@FEB Sustainable Innovation Challenge Committee
Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama strategik serta tajaan utama daripada Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) telah berjaya menganjurkan program TEGAS@FEB Sustainable Innovation Challenge 2026, sekaligus menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakat inovasi dan keusahawanan lestari dalam kalangan mahasiswa.

Program yang berlangsung pada 8 hingga 9 Mei 2026 di FEB, UNIMAS itu telah menghimpunkan pelajar, ahli-ahli akademik dan wakil-wakil industri dalam suasana kolaboratif yang dinamik serta berimpak tinggi. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan FEB dan TEGAS dalam memperkasa budaya inovasi dan pembangunan mampan dalam kalangan generasi muda.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Tuan Haji Udin Bin Ujang, Penolong Naib Canselor UNIMAS, Profesor Madya Dr. Noraziah Abdul Wahab serta Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Profesor Dr. Dayang Affizzah Awang Marikan. Kehadiran para tetamu kehormat ini jelas memperlihatkan sokongan padu terhadap usaha melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, kreatif dan berorientasikan penyelesaian lestari.

Seramai 202 orang pelajar daripada program Pemasaran dan Pengurusan Korporat telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Para peserta membentangkan pelbagai idea dan projek inovatif yang menumpukan kepada penyelesaian mampan sejajar dengan agenda pembangunan lestari semasa. Program ini turut mendapat bimbingan dan sokongan daripada barisan pensyarah berdedikasi, dengan Dr. Faizan Iza Zainuddin bertindak sebagai ketua projek. Turut memainkan peranan penting sebagai ahli projek ialah Dr. Mohd Uzairi Ahmad Hijazi, Dr. Siti Aisyah Ya’kob, Encik Mohd Naim Kamaruzaman serta Timbalan Pendaftar, Puan Kartika Barmawi. Kerjasama erat antara pihak penganjur, tenaga pengajar dan ahli jawatankuasa pelajar telah memastikan kelancaran perjalanan program sepanjang dua hari penganjurannya.

Penilaian pertandingan dilaksanakan oleh panel juri yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Satok Bridge Digital Sdn. Bhd., Encik Tham Tat Wai, wakil TEGAS serta para pensyarah UNIMAS daripada pelbagai fakulti. Setiap projek dinilai berdasarkan aspek inovasi, kebolehlaksanaan serta impak terhadap masyarakat dan alam sekitar.

Persaingan sengit antara peserta menyaksikan kumpulan Infraedge dinobatkan sebagai juara tempat pertama, diikuti oleh Innovatex di tempat kedua dan Spiceser di tempat ketiga.
Kerjasama strategik antara FEB, UNIMAS dan TEGAS memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Selain bertindak sebagai rakan strategik, TEGAS turut menjadi penaja utama yang menyokong pelaksanaan program dari aspek kewangan serta perkongsian kepakaran industri.
Penganjuran program ini memberi impak yang signifikan kepada para pelajar khususnya dalam membentuk pemikiran kritikal, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memperkukuh semangat keusahawanan. Lebih penting lagi, ia membuka peluang kepada mahasiswa untuk mengetengahkan idea inovasi lestari yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.
Secara keseluruhannya, TEGAS@FEB Sustainable Innovation Challenge 2026 bukan sahaja berjaya mencapai objektif penganjurannya, malah membuktikan keupayaan mahasiswa UNIMAS untuk menjadi agen perubahan melalui inovasi yang kreatif, progresif dan mampan.