May 28, 2024

11 Mei 2024, KOTA SAMARAHAN – Program Jom Masuk U Siri 1 2024 Zon Sarawak telah diadakan di The Hills, Kuching bermula pada hari ini sehingga esok hari, 12 Mei 2024. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diberikan kepercayaan sebagai penganjur untuk melaksanakan Jom Masuk U 1 2024 di Zon Sarawak. Karnival Jom Masuk U diadakan di 10 zon seluruh negara dan Zon Sarawak di Kuching merupakan lokasi yang ketiga diadakan.

Sebanyak lebih kurang 60 reruai disediakan untuk pempamer sempena JMU 2024 Zon Sarawak. Insiatif ‘turun padang’ daripada Kementerian Pendidikan Tinggi ini untuk memberikan pendedahan kepada pelajar berkenaan maklumat kemasukan ke institusi pendidikan tinggi (IPT) selain menggalakkan pelajar menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sesungguhnya, penganjuran JMU2024 ini dapat mempromosikan maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh IPT di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti serta institusi kemahiran awam.

Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan sepanjang JOM MASUK U 2024 antaranya pameran, sesi konsultansi UPUOnline, taklimat UNIMAS, konsultasi berkaitan biasiswa dan pinjaman serta bantuan kewangan, taklimat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, pemeran STEM, Sesi Santai bersama Influencer, persembahan kebudayaan, pertunjukan fesyen, pertandingan mewarna, Scavenger Hunt dan para pengunjung juga dialu-alukan mengunjungi booth IPTA-IPTS yang telah disediakan.

Majlis perasmian sempena Jom Masuk U 2024 Zon Sarawak ini akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr Annuar Rapaee Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak  pada 12 Mei 2024 di Colloseum, Pullman Kuching. Turut hadir pada JMU 2024 ini ialah YBhg Prof Dr Ahmad Hata Rasit; (Naib Canselor, UNIMAS),

Menurut Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit; UNIMAS komited untuk bekerjasama dengan pihak KPT dalam Jom Masuk U 2024 ini dan merakamkan penghargaan kepada KPT atas kepercayaan untuk mengendalikan JMU 1 2024 Zon Sarawak. UNIMAS bersiap siaga untuk berkoordinasi dalam mengendalikan JMU 2024 ini dan berharap usaha ‘turun padang’ daripada semua universiti awam, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti serta agensi kerajaan seperti PTPTN memberikan impak positif dalam usaha menggalakkan para pelajar menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Jom Masuk U selama dua hari berturut-turut ini menyediakan platform kepada anak-anak di Sarawak untuk mendapatkan maklumat yang terperinci mengenai syarat, program yang ditawarkan, pinjaman dan bantuan kewangan serta boleh berhubung terus, bersemuka dengan pempamer yang terlibat.

Disediakan oleh:

Dayang Nurlisa Abang Zainal Abidin

Jawatankuasa Publisiti & Media

Jom Masuk U 2024

UNIMAS Corporate.

image_printPrint Article/Press Release