
Kota Samarahan, 20 Sept — Universiti Malaysia Sarawak menjadi tuan rumah Program Sokongan Strategik Seep: Sci-Math Camp 2025 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan. Pemukiman empat hari ini ditaja oleh Kementerian Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dan DUN N25 Simunjan sebagai salah satu intervensi di bawah inisiatif Kerajaan Negeri iaitu Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP).
Menurut Encik Hasbi Ancheh, Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, seramai 240 pelajar daripada SMK Sri Sadong, SMK Sebuyau, SMK Gedong dan SMK Simunjan No. 1 terpilih mengikuti pembelajaran intensif merangkumi enam mata pelajaran kritikal: Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Sejarah, Biologi dan Kimia. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi UNIMAS atas kerjasama penganjuran program pendidikan komuniti yang berterusan.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bidang Sains Sosial JPN Sarawak, Encik Edwin Apok, memuji inisiatif persediaan peperiksaan oleh PPD Simunjan melalui kerjasama strategik bersama universiti seperti UNIMAS.

“Bagi PPD Simunjan, JPN Sarawak bersama MEITD akan terus membantu bukan sahaja meningkatkan kadar kelulusan SPM, malah memacu pencapaian cemerlang dalam semua subjek,” katanya.
Para peserta menyatakan keterujaan merasai ekosistem pembelajaran universiti yang berbeza daripada suasana kelas. Mereka juga berpeluang menumpukan sepenuh perhatian bersama rakan baharu dari sekolah lain sepanjang pemukiman. Perkongsian guru pakar mata pelajaran mengenai kaedah, tip dan teknik menjawab turut menambah kefahaman serta meningkatkan keyakinan menjelang peperiksaan SPM yang kian hampir.

Majlis penangguhan disempurnakan oleh Encik Edwin Apok. Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UNIMAS, Prof. Dr. Fitri Suraya; Pengarah Pusat Islam Tun Abang Salahudin, Tuan Haji Mohamad Zaky Gardafi; pengetua kolej; pegawai kanan UNIMAS; pegawai PPD Simunjan; serta guru sekolah.
