60 Tahun Merdeka
Sarawak Gemilang Berjaya
Dua Puluh Tiga Puluh
Wawasan Di Realisasi
Sarawak Berpendapatan Tinggi.
Bait-bait indah dalam lirik lagu Sarawak Maju Makmur ini mengungkap kemajuan dan kesejahteraan negeri Sarawak yang telah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun. Warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), juga tidak ketinggalan untuk meraikan sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Bumi Kenyalang yang bertuah ini. Sambutan cukup meriah dengan kehadiran seluruh warga kampus mengenakan baju kebangsaan dan baju etnik yang berwarna-warni.
Sambutan ini telah dihadiri oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong bin Matjeraie; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Naib Canselor, Ybhg Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, bersama pengurusan universiti, para pelajar dan seluruh warga kampus.
Kita akui dan menyedari bahawa perjalanan dalam mengecapi 60 tahun kemerdekaan negeri Sarawak ini bukanlah sesuatu yang mudah bahkan banyak ceritera sejarah yang perlu dikenang serta dihargai. Di peringkat UNIMAS, seluruh warga kampus tidak ketinggalan untuk bersama-sama menzahirkan erti kemerdekaan ini dalam pelbagai bentuk, jiwa, dan rasa. Dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh. Begitulah juga, apa yang kita dapat pada hari ini. Semuanya hasil dari perjuangan tulus pemimpin terdahulu, berkorban jiwa raga, menitiskan keringat air mata, semuanya demi sebuah kebebasan untuk merdeka. Segala sumbangan, jasa, pengorbanan pemimpin terdahulu sangat dihargai, dikenang dan perlu disambung oleh legasi sekarang. Terima kasih kita zahirkan kepada para pemimpin terdahulu dan pemimpin yang mengemudi pentadbiran sekarang.
UNIMAS sentiasa komited sebagai sebuah universiti yang cakna, serta sentiasa terbuka untuk membantu kerajaan negeri dalam memacu jentera ekonomi di negeri Sarawak khususnya dan Malaysia secara amnya. UNIMAS sentiasa mendukung dengan membantu menggerakkan pelbagai agenda dalam kerajaan negeri seperti yang dinyatakan di dalam Sarawak Post Covid-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030) di dalam bidang pendigitalan, food security, perubahan iklim dan banyak lagi yang tengah atau sedang dilaksanakan bersama kerajaan negeri. Semoga dengan iltizam yang kita berikan, hubungan erat yang baik dengan kerajaan negeri, serta kepakaran para penyelidik yang kita ada, kita mampu membantu menjayakan hasrat kerajaan negeri, Segulai Sejalai untuk mentransformasikan Bumi Kenyalang menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.
Selamilah erti kemerdekaan ini dengan sebenar-benar pengertian, maka dengan itu percayalah kita akan berusaha untuk mengekalkannya. Ibarat sakit sama mengadu, luka sama menyiuk, menjadi tanggungjawab semua memastikan kelangsungan yang kita kecapi, nikmati ini kekal untuk generasi akan datang. Seiring 60 Tahun Sarawak Merdeka, semoga UNIMAS di bumi Kenyalang ini juga terus bergerak maju dalam memberikan sumbangan ilmu, berkongsi kepakaran, untuk pembangunan negeri dan negara.
Sejoli sungguh si Dayang Abang,
Rupa parasnya indah terletak,
Ingatlah benar pesanan moyang,
Jagalah sungguh tanah Sarawak.
Sarawak Maju Makmur!
Ditulis oleh, Dyg Nurlisa Abg Zainal Abidin
Copywriter UNIMAS Corporate