August 19, 2025
Picture3

SHAH ALAM, 16 Ogos 2025- Majlis Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 Tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh istiadat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Majlis ini menghimpunkan seramai 918 orang pegawai kadet daripada 24 institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia, yang telah berjaya menamatkan latihan Kor SISPA.

Daripada jumlah tersebut, seramai 850 orang telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (PA) dan 68 orang sebagai Staf Muda (PA). Pentauliahan ini merupakan pengiktirafan rasmi terhadap pencapaian mereka dalam latihan yang berteraskan pertahanan awam, kepimpinan dan khidmat masyarakat.

Majlis dimulakan dengan Perbarisan Tamat Latihan yang diperiksa oleh YAS Datuk KPj. (PA) Aminurahim bin Mohamad, Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam, sebagai simbol penghormatan kepada pasukan kadet yang telah menamatkan latihan.

Majlis penyampaian watikah pentauliahan dimulakan dengan penganugerahan Pegawai Kadet Terbaik oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, yang berkenan mencemar duli menyempurnakan istiadat tersebut. Penyampaian watikah kemudiannya diteruskan oleh tetamu kehormat berikut:

  • YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah
  • YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi
  • YBhg. Dato’ Abd Shukor bin Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Perdana Menteri
  • YAS Datuk KPj. (PA) Aminurahim bin Mohamad, Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut menyertai majlis ini dengan menghantar seramai 18 orang pegawai kadet, yang kesemuanya telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda (PA).

Acara gemilang ini turut disertai oleh barisan kepimpinan Kor SISPA UNIMAS, iaitu:

  • Komandan Kor SISPA UNIMAS, PPj. Kehormat (PA) Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid bin Haji Othman
  • Timbalan Komandan, Kol. Bersekutu (PA) Dr. Nasriman bin Abdul Rahman
  • Wakil Ajutan, Kapt. Bersekutu (PA) Dr. Siti Zaleha binti Raduan

Penyertaan ini mencerminkan komitmen UNIMAS dalam melahirkan mahasiswa yang berdisiplin, berwibawa dan bersedia menyumbang kepada keselamatan serta kesejahteraan negara.

UNIMAS turut berbangga apabila Leftenan Muda (PA) Mohd Faiz bin Jeffery telah dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Kor SISPA Terbaik UNIMAS 2025, hasil daripada dedikasi dan kecemerlangan beliau sepanjang tempoh latihan.

Majlis diakhiri dengan Majlis Makan Malam Regimental sebagai simbol penghargaan kepada semua pegawai kadet yang telah berjaya ditauliahkan. Ucapan penutup telah disampaikan oleh YAS Datuk KPj. (PA) Aminurahim bin Mohamad, yang menzahirkan penghargaan kepada semua institusi pengajian tinggi atas sokongan berterusan terhadap program Kor SISPA serta menekankan kepentingan peranan mahasiswa dalam kesiapsiagaan pertahanan awam negara.

Disediakan oleh:

Kapten Bersekutu (PA) Dr. Siti Zaleha binti Raduan

Pegawai Bersekutu Kor SISPA, UNIMAS