
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencatat pencapaian membanggakan dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025, dengan kedudukan terkini dalam kelompok 101–200 dunia. Peningkatan berterusan sejak 2023 ini mencerminkan keupayaan UNIMAS dalam menyelaraskan strategi institusi dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Daripada kedudukan 401–600 pada tahun 2023, UNIMAS melonjak ke kelompok 301–400 pada tahun berikutnya, sebelum mencapai lonjakan signifikan pada tahun ini.
Peningkatan ini didorong oleh pendekatan berasaskan bukti, pemantauan berstruktur, serta penekanan terhadap impak lestari dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan khidmat komuniti.
Antara pencapaian utama UNIMAS dalam THE Impact Rankings 2025 ialah:
- SDG 17: Partnership for the Goals – Kedudukan ke-16 dunia mengiktiraf kecemerlangan UNIMAS dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik merentas sektor dan sempadan.
- SDG 16: Peace, Justice, and Strong Institutions – Di tangga ke-36 dunia, UNIMAS memperlihatkan komitmen terhadap tadbir urus berintegriti dan ketelusan institusi.
- SDG 7 (Affordable and Clean Energy) dan SDG 2 (Zero Hunger) – Masing-masing berada pada kedudukan ke-81 dan ke-94 dunia, menekankan impak penyelidikan dan inisiatif komuniti dalam menangani isu tenaga dan keselamatan makanan.

Selain itu, pencapaian konsisten dalam SDGs—SDG 13 (Climate Action), SDG 14 (Life Below Water), dan SDG 15 (Life on Land)—yang berada dalam kelompok 101–200—membuktikan komitmen universiti terhadap kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan biodiversiti.
Kejayaan ini membuktikan halatuju strategik UNIMAS dalam memperkukuh impak global menerusi pendekatan bersepadu, kepimpinan berwawasan dan pemacuan nilai lestari di peringkat institusi.