December 25, 2024
Wakil Fakulti Kejuruteraan bersama tetamu jemputan dari 7 buah sekolah di Kota Samarahan

Satu majlis penyerahan kit STEM Kitz2Create kepada 7 buah sekolah sekitar Kota Samarahan telah berlangsung pada 11 Disember 2024 bertempat di Fakulti Kejuruteraan. Majlis ini telah dihadiri oleh Prof. Madya Ir Norazzlina M.Sa’don (Dekan Fakulti Kejuruteraan), En. Solomon Kudik (Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak), Dr Rusdy bin Wahid (Timbalan Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan), Dr Mohd Farid Atan (Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Universiti) dan 15 orang pentadbir dan guru dari 7 buah sekolah yang terpilih.

Majlis ini merupakan aktiviti terakhir bagi projek STEM Kitz2Create, dimana sebelum ini 3 siri bengkel kepada para guru dan para pelajar telah diadakan. Projek STEM Kitz2Create ini dibawah Program Pendayaan Komuniti@UniMADANI yang disokong sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan.

Ahli projek STEM Kitz2Create dan tetamu jemputan kit STEM Kitz2Create

Pada majlis tersebut, pihak Fakulti Kejuruteraan UNIMAS telah menyerahkan kit STEM kepada 7 buah sekolah iaitu SK Meranek, SK Endap, SK Dato Mohd Musa, SK Dato Traoh, SK Plaie, SK Asajaya Laut dan SK Tanjong Apong. Setiap sekolah akan membawa pulang sebuah troli, 7 buah kit elektrik, 7 buah kit robotik dan sebuah pencetak 3D. Projek yang diketuai oleh Dr Nur Tahirah Razali bersama-sama ahli, Dr Annisa Jamali, Dr Abang Mohammad Nizam Abang Kamaruddin dan Prof. Madya Ts Rohana Sapawi ini bertujuan memberikan pendedahan dan akses terhadap aktiviti serta bahan pembelajaran STEM, disamping menerapkan pemikiran kritis dan kreatif kepada para pelajar sekolah rendah. Ianya melibatkan 3 modul, iaitu Modul Robotik, Modul Elektrik dan Modul 3D Modeling yang fokus kepada aktiviti hands-on bagi menyokong kepada silibus subjek Sains dan subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT). Diharapkan agar kit-kit yang disalurkan ini digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak sekolah demi kepentingan pelajar.

Wakil sekolah yang menerima kit STEM Kitz2Create

Laporan disediakan oleh Dr Nur Tahirah dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan