December 25, 2024
A group of smiling people consisting of participants, instructors, organisers, and the faculty dean

Para peserta bersama penganjur, pengajar, dan Dekan FPBK

Pepatah mengatakan, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Jelas bahawa masyarakat kita sememangnya dari dahulu sedar tentang pentingnya memahami bahasa dan budaya tempatan. Sebagai sebuah universiti yang berteraskan komuniti, UNIMAS sentiasa memberi penekanan kepada program-program dan aktiviti-aktiviti berkaitan bahasa dan budaya masyarakat setempat.

Antara yang terkini adalah Kursus Juh, Kelakar Sarawak! yang ditawarkan kepada Sarawak Metro Sdn. Bhd pada 1 – 22 November 2024. Kursus ini merupakan anjuran bersama Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS Business School, dan ProCEL UNIMAS.

Kursus tersebut, bertempat di Sarawak Metro Sdn. Bhd. Office, Wisma Chinese Chambers, Jalan Bukit Mata, Kuching, dihadiri oleh 29 orang peserta yang merupakan staf Sarawak Metro Sdn. Bhd. Rata-rata peserta berasal dari Semenanjung Malaysia dan bersemangat untuk mempelajari dialek tempatan ini.

Kursus Juh, Kelakar Sarawak! memberi peluang kepada para peserta untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Dialek Melayu Sarawak (DMS) secara bersemuka. Peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti mendengar, bertutur, dan berinteraksi, selaras dengan objektif kursus tersebut. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan memenuhi keperluan peserta dalam berkomunikasi sama ada untuk keperluan harian ataupun di tempat kerja. Antaranya, menyebut perkataan DMS dengan betul, membuat ayat menggunakan DMS, berbual dalam DMS (role play), kuiz, dan sesi soal jawab.

Para penganjur, iaitu Pn. Nur Ardini Jian Abdullah, Dr. Dayang Aizza Maisha Abang Ahmad, Cik Nor Mazreena Mazlan, serta para pengajar kursus, iaitu Pn. Siti Marina Kamil dan Dr. Roslan Ali, merupakan penutur asli Dialek Melayu Sarawak.

“Para peserta sangat bersemangat untuk mempelajari Dialek Melayu Sarawak. Bagi kami, ini penting – untuk mempelajari sesuatu bahasa atau dialek, kemahuan itu adalah motivasi,” ujar Puan Siti Marina Kamil, salah seorang pengajar kursus.

Penganjuran kursus Juh, Kelakar Sarawak! ini turut dibantu oleh Cik Khadijah Mohamad Tuah, En. Ahmed Shamsul Mohamad Tuah, dan Pn. Dayang Sariah Abang Suhai, juga dari FPBK.

Selain DMS, FPBK turut menawarkan kursus-kursus bahasa lain, termasuklah Bahasa Mandarin, Bahasa Jepun, Bahasa Arab, Bahasa Perancis, dan juga dialek-dialek tempatan seperti Bahasa Iban.