Qadim Hub dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS, Semarak Kreatif Sdn Bhd, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Samarahan telah menganjurkan Program Pendidikan Seksualiti Kanak-Kanak melalui pementasan teater bertajuk “Secret Survivor” pada 22 hingga 23 November 2024.
Teater “Secret Survivor” mengetengahkan mesej-mesej kesedaran pendidikan seksualiti dan mencegah gangguan seksual kanak-kanak melalui seni persembahan. Pementasan teater ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan seksualiti dalam kalangan kanak-kanak, disamping melatih penggerak komuniti, terutama belia untuk mendidik generasi muda dalam topik yang sering dianggap sensitif tetapi amat penting ini. Program ini diharapkan dapat memberi impak mendalam kepada peserta dan penonton dalam memahami keperluan melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak.
Majlis perasmian program ini dan Hari Kanak-Kanak Bahagian Samarahan telah berlangsung pada 22 November 2024 di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak dan telah disempurnakan bersama oleh Dr Ahmad Syafiq Ahmad Nasir, Timbalan Pengarah (Keterlibatan Komuniti), Pusat Kelestarian Universiti, UNIMAS dan Puan Hajah Norhayati Binti Haji Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak. Turut hadir adalah wakil agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, serta penggiat seni dan komuniti setempat.
Menurut Penyelaras Qadim Hub, Prof. Madya Dr Rafeah Wahi “Melalui program ini, kami berharap dapat memperkasakan kanak-kanak dengan pengetahuan asas tentang pendidikan seksualiti, serta melahirkan lebih ramai penggerak komuniti yang mampu membawa perubahan positif dalam masyarakat.”
Qadim Hub, Pusat Kelestarian Universiti, UNIMAS merupakan sebuah Knowledge for Change (K4C) Hub di bawah UNESCO Chair of Community-Based Research and Social Responsibility in Higher Education.
Disediakan oleh: Qadim Hub, Pusat Kelestarian Universiti, UNIMAS