September 10, 2024

Program Mini Space Camp Artemis telah dengan jayanya dilaksanakan bersama Fakulti Kejuruteraan (FEng) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 28 sehingga 30 Mei 2024 di Dewan Kristal, HEPA UNIMAS. Program ini merupakan kerjasama diantara Apadilangit selaku penganjur dan Fakulti Kejuruteraan UNIMAS sebagai penganjur bersama bagi program bersama masyarakat ini. Antara matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk memperkasakan minat berkaitan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan anak-anak muda seiring dengan misi Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meningkatkan kadar penyertaan pelajar ke dalam aliran STEM. Program 3 hari ini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 500 anak-anak muda berusia sekitar 6 sehingga 13 tahun.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan pada program tersebut. Di antara aktiviti termasuk adalah:

1. Pengenalan kepada misi Artemis iaitu manusia kembali ke bulan.

2. Pembinaan Space Launch System (SLS) rocket.

3. Pemasangan Rover Robotic.

Apadilangit selaku organisasi pendidikan Sains mengelola program “Mini Space Camp Artemis” bagi tujuan memperkenalkan Misi Artemis kepada generasi muda sebagai pendedahan awal berkaitan bidang angkasa lepas. Selain itu, program ini juga memberi pendedahan mengenai sistem suria dan penerokaan ke angkasa lepas. Pada masa yang sama, program ini diharapkan mampu membuka minda pelajar-pelajar mengenai aplikasi sains dalam kehidupan dan teknologi dalam penerokaan ke angkasa lepas. Justeru, program ini merupakan strategi yang boleh digunakan bagi mencetuskan minat didalam bidang angkasa lepas dan pada masa yang sama boleh menarik anak-anak muda kepada pendidikan STEM.

Disediakan oleh: Dr. Mohamad Iskandar Jobli, Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS