November 17, 2024

KOTA SAMARAHAN, 14 Ogos 2023: Kunjungan hormat dari Forum Silaturahmi Keraton Nusantara (FSKN) Indonesia, telah berlangsung pada hari ini di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Rombongan FSKN Indonesia tiba di UNIMAS yang disambut oleh Naib Canselor UNIMAS, YBhg Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suadi. Delegasi tersebut diketuai oleh Ketua Umum FSKN, Yang Mulia Brigadir Jeneral Polisi (P) Dr AA Mapparessa MM MSi Karaeng Turikale VIII (Sultan Maros, Sulawesi Selatan), Yang Mulia Bapak Opa Jou Firmansyah (Sultan Ternate) Koordinator Dewan Keraton Indonesia Timur, Yang Mulia Bapak Achmad Jazuli (Kesultanan Kesepuhan, Cirebon) Kepala Kesekertariatan Dewan Perwakilan Pusat FSKN dan ramai lagi.

Kunjungan ini bertujuan untuk menyantuni UNIMAS bagi merapatkan hubungan silaturrahim di antara kedua-dua belah pihak dan membina kesepakatan hubungan baik pada masa akan datang. Pertukaran budaya antara dua pihak turut dapat dilihat semasa kunjungan untuk memberi pendedahan yang unik bagi mempromosikan budaya masing-masing.

Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr. Mohamad Kadim Suadi mengatakan bahawa ikatan kerjasama tersebut mampu menjadikan UNIMAS lebih berskala besar dalam menyebarluaskan kemampuan dan kepelbagaian bidang yang ada untuk pelajar dari luar negara khususnya negara Indonesia. Lawatan daripada delegasi ini diharapkan dapat memberi impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak sekaligus memberi sumbangan yang lebih besar di peringkat serantau.

Ditulis oleh : Lee ak Linggie (75373)

Pelajar Latihan Industri, UNIMAS Corporate