December 22, 2024

KOTA SAMARAHAN, 23 Nov. – Dahulunya Afiq pelajar introvert. Kini dia pemimpin pelajar terutama dalam aktiviti sosial di peringkat fakulti.

Afiq Imran Roslan, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan kepujian (Kejuruteraan Perisian) merangkul Anugerah Kecemerlangan FSKTM bagi kategori Aktiviti Sosial dan Khidmat Komuniti sempena Majlis Konvoksyen ke-27.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini bersyukur apabila FSKTM memberinya banyak peluang bergiat dalam aktiviti sosial semenjak 2019.

“Pada mulanya, saya hanya memohan jawatan sebagai Course Representative for Software Engineering Programme. Kemudian saya diamanah sebagai Pengarah program Piala Dekan 2019. Disinilah Prof Madya Dr Halikul Lenando melihat potensi dan meminta saya menyertai temuduga pemilihan Majlis Tertinggi PERTEKMA. Alhamdulillah saya berpeluang meneraju PERTEKMA Sesi 2019/2020 sebagai Timbalan Presiden”. Kata Afiq

Afiq menambah, “Momen indah paling signifikan ialah ketika saya berjaya menganjurkan Program IT Week 2019, dengan penyertaan terbesar lebih 2,000 pengunjung dalam kalangan pelajar sekolah, mahasiswa, dan orang awam dari seluruh Sarawak.”

“Saya sebenarnya pemalu dan introvert, namun saya tekad dan redah sahaja dengan menyertai pelbagai program kerana banyak manfaat positif yang diperoleh,” kata Afiq.

Tiada yang mustahil. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Terbukti perasaan malu yang menebal dapat ditangkis dan kemahiran insaniah dapat ditingkatkan setelah bergiat aktif dalam pelbagai program.

Kejayaan Afiq ternyata memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus menempa lebih banyak pencapaian gemilang di masa akan datang.

Laporan oleh Siti Lydiawati Sahmat