September 22, 2026
55541872896_f228d5219b_o

Kota Samarahan, 22 September 2026: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menempa detik bermakna dalam persuratan serantau apabila menjadi tuan rumah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026. Seminar ini ialah kegiatan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) yang menghimpunkan pakar sastera Melayu dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.

Seminar bertemakan “Mengimbangi Kecerdasan Buatan dengan Kecerdasan Semula Jadi dalam Sastera” itu
berlangsung pada 21 hingga 22 September di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS.

Seminar dihadiri kira-kira 200 orang pelawar terdiri daripada ahli akademik, tokoh sastera dan pelajar-pelajar universiti

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Dr. Haji Jeniri Amir. Beliau turut menyampaikan ucap utama bertajuk “Landskap Kesusasteraan Asia Tenggara: Realiti Empirikal dan Suara Serantau”. Beliau menegaskan bahawa kecerdasan buatan mampu meniru gaya penyair dan menghasilkan metafora yang memukau. Namun, teknologi canggih tersebut tetap tidak memiliki pengalaman, sejarah, perasaan dan renungan jiwa sebagaimana seorang pengarang.

Mendapati dunia yang kian pesat berkembang tegas beliau, sasterawan pada era AI bukan bersaing dengan mesin dari segi kelajuan menghasilkan tulisan, tetapi menulis tentang pengalaman manusia.

“Ini termasuk mengingati perkara yang mahu dilupakan, mempersoalkan perkara yang diterima tanpa pertanyaan dan memberikan suara kepada mereka yang tidak mempunyai ruang untuk bersuara. Ujarnya lagi “Selain itu, memastikan identiti dan ingatan Asia Tenggara terus diwariskan melalui pantun, puisi, hikayat, novel, bahasa masyarakat kecil serta pelbagai pengalaman manusia yang membentuk rantau berkenaan,”

“Bahasa boleh dihasilkan oleh mesin, tetapi makna mesti dipertaruhkan oleh manusia. Kita harus menggunakan AI untuk memperluas suara manusia, bukan menggantikannya,” – Dato’ Dr. Haji Jeniri Amir

Dalam pada itu, Ketua Pengarah DBP merangkap Pengerusi Mastera Malaysia, Datuk Dr. Hazami Jahari turut hadir menyampaikan ucapan pembukaan. Beliau menyifatkan seminar itu bukan sekadar wadah ilmu, malah medan untuk sastera menyuburkan nilai kemanusiaan yang kian terhakis.

“Dalam pada kemajuan dam teknologi menjadi semakin pantas malangnya manusia semakin mementingkan diri. Krisis Timur Tengah membuktikan kemajuan dicapai pada masa kini kehilangan nilai kemanusiaan dan empati” -Datuk Dr. Hazami Jahari

Beliau melahirkan rasa bangga dengan penganjuran seminar kesusasteraan bertaraf antarabangsa yang berjaya
dilangsungkan kali ke-30 julung-julung kalinya di Bumi Kenyalang.

Turut hadir sebagai Tetamu Kehormat ialah Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan padu pengurusan tertinggi universiti terhadap kerjasama erat UNIMAS-DBP. Delegasi-delegasi sasterawan antarabangsa lain yang hadir ialah Yang Mulia Tuan Awang Suip Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam merangkap Pengerusi Mastera Brunei Darussalam; YBrs. Dr. Ganjar Harimansyah, Sekretaris Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa merangkap Setiausaha Mastera Indonesia; YBrs. Dr. Pitchay Gani Aziz, Lembaga Pengarah Centre for Research on Islamic and Malay Affairs, mewakili Mastera Singapura; dan YBrs. Encik Abang Haliman bin Abang Julai, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP.

SAKAT 2026 yang dilangsungkan sepanjang dua hari membuktikan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi UNIMAS sebagai rakan strategik utama DBP di Borneo dalam bahasa, sastera dan kebudayaan. UNIMAS sentiasa menghargai hubungan erat dan komited untuk memperkukuh kerjasama ini demi memastikan khazanah persuratan serantau kekal subur dan dihargai