SK Batu Kitang, Kuching – Program Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama Kumpulan Penyelidikan AIoT, Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS, yang diketuai oleh Profesor Madya Ir. Dr. Kuryati Kipli, telah berjaya dilaksanakan dalam tiga siri berasingan. Program ini melibatkan 50 orang pelajar Tahun 4, 5 dan 6 dari SK Batu Kitang, bertujuan memperkasa kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti dan inovasi melalui pendedahan kepada modul “The Innovator’s Mindset”.
Siri 1: Pengenalan Inovasi & Aktiviti Interaktif, berlangsung pada 10 Disember 2025 di SK Batu Kitang melibatkan seramai 50 murid Tahun 3, 4 dan 5. Sejak permulaan program, keterujaan jelas terpancar pada wajah para pelajar yang begitu teruja untuk menerokai dunia inovasi. Mereka bukan sahaja mendapat pengenalan tentang konsep asas inovasi dan kreativiti, malah berpeluang merasai sendiri pengalaman hands-on melalui aktiviti interaktif yang menggabungkan pemikiran kritis, logik dan kerjasama berpasukan.
Aktiviti-aktiviti energetik seperti “Robot Follow Me!” dan sesi mengenal pasti masalah di persekitaran sekolah telah membuka ruang kepada murid untuk memahami bahawa inovasi sebenarnya bermula daripada pemerhatian kecil dalam kehidupan seharian. Program ini memberi peluang kepada mereka melihat bagaimana idea boleh berkembang menjadi penyelesaian sebenar seperti inovator muda yang sedang dibentuk.



Siri 2: Thinking Out of the Box & Lakaran Prototaip, berlangsung pada 4 Februari 2026 di SK Batu Kitang. Suasana pada pagi program dipenuhi dengan keterujaan apabila para peserta mengetahui bahawa mereka akan menjalani aktiviti “Thinking Out of the Box” yang mencabar imaginasi dan kreativiti mereka.

Program dimulakan dengan latihan visual menggunakan dua lukisan separa lengkap, yang serta-merta merangsang kreativiti murid. Mereka bukan sekadar melukis, tetapi menafsir, mencipta jalan cerita dan menghasilkan idea yang unik, menjadikan setiap kumpulan mempunyai karya kreatif tersendiri.

Keterujaan mereka semakin memuncak apabila mereka diberi peluang memilih satu daripada lima masalah sebenar untuk dibangunkan sebagai lakaran prototaip menjadikan mereka “pencipta kecil” yang mengetengahkan inovasi masing-masing.

Siri 3: Showcase PETROSAINS & Penambahbaikan Idea, membawa para peserta ke lokasi yang paling dinanti-nantikan iaitu UNIMAS, pada 14 Februari 2026. Lebih istimewa, siri ini menghimpunkan pelajar SK Batu Kitang bersama pelajar SMK Muara Tuang untuk merasai pengalaman pembelajaran secara langsung melalui Showcase PETROSAINS dan lawatan ke tiga makmal teknologi.

Dari detik pertama mereka menjejakkan kaki ke UNIMAS, keterujaan murid-murid jelas terpancar. Mereka tidak hanya melihat bahan pameran PETROSAINS, tetapi juga menyaksikan demonstrasi sains secara dekat. Lawatan ke Makmal Rangkaian Sensor Tanpa Wayar (IoT), Makmal Tenaga Boleh Diperbaharui dan Makmal Voltan Tinggi membuka mata mereka mengenai teknologi sebenar yang digunakan dalam industri.



Selepas lawatan, murid-murid lebih bersemangat untuk menambah baik prototaip lakaran mereka, menggunakan ilmu baharu yang baru dipelajari menjadikan mereka bukan sekadar pelajar, tetapi bakal inovator masa hadapan.

Keseluruhan pelaksanaan program tiga siri ini membawa satu mesej besar kepada generasi muda bahawa teknologi bukan sekadar alat, tetapi pintu kepada peluang yang lebih luas untuk mereka membina impian, melatih pemikiran kritikal dan berani mencuba perkara baharu. Dengan sokongan berterusan daripada pensyarah, staff teknikal, fasilitator mahasiswa terdiri daripada AIOT ambassador, rakan industri serta pihak sekolah, program ini bukan hanya menjadi pendedahan ringkas, tetapi langkah awal yang memberi impak besar terhadap perkembangan pendidikan STEM di Sarawak.
UNIMAS bersama semua rakan strategik amat berharap lebih ramai pelajar dapat menikmati peluang pembelajaran seperti ini pada masa hadapan. Apabila minat terhadap teknologi dipupuk sejak usia muda, tidak mustahil generasi inilah yang bakal menggerakkan Malaysia ke arah masa depan digital yang lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing.
Kesinambungan Kejayaan: Daripada Program STI ke Pentas iSTEEX 26
Hasil daripada bimbingan dan pendedahan berterusan dalam Program Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) anjuran MOSTI, usaha ini diteruskan menerusi sesi mentoring khusus bagi menyediakankan para pelajar SK Batu Kitang ke pertandingan International Science, Technology and Engineering Expo (iSTEEX 26).
Impak program pembudayaan ini terbukti apabila dua pasukan dari SK Batu Kitang berjaya meraih kejayaan cemerlang di pentas iSTEEX ’26:
- Pingat Emas (Gold): Dimenangi oleh pasukan SR 32 SK Batu Kitang.
- Pingat Perak (Silver): Dimenangi oleh pasukan SR 31 SK Batu Kitang.


Tahniah dan syabas diucapkan kepada kedua-dua pasukan atas pencapaian yang membanggakan ini! Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga ditujukan kepada Cikgu Syed Akil bin Wan Noh serta fasilitator UNIMAS bawah pimpinan Profesor Madya Ir. Dr. Kuryati Kipli atas tunjuk ajar, dedikasi dan bimbingan berterusan yang diberikan kepada wira-wira muda SKBK. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi pada masa hadapan!
Laporan disediakan oleh Profesor Madya Ir. Dr. Kuryati Kipli