September 10, 2026
PHOTO-2026-09-09-14-20-34 (3)

Disediakan Oleh: Dr. Santrol Bin Abdullah

Program Ziarah Prihatin UNIMAS 2026 yang berlangsung pada 1 hingga 2 September 2026 menjadi wadah penting dalam usaha Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mendekati bakal mahasiswa yang akan memulakan pengajian bagi Sesi Akademik 2026/2027. Program ini membawa misi yang lebih besar daripada sekadar menyampaikan bantuan dan bertemu dengan bakal mahasiswa UNIMAS khususnya mahasiswa Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi. Ziarah Prihatin UNIMAS untuk lawatan 1 dan dua ini yang melibatkan kawasan Pantu, Pusa, Gerigat di Bahagian Betong serta Sungai Pasin, Sibu. Program ini merupakan manifestasi keprihatinan UNIMAS terhadap kebajikan dan persediaan mahasiswa baharu, khususnya mereka yang datang daripada keluarga yang memerlukan sokongan.

Melalui pendekatan secara langsung ke kediaman mahasiswa, pihak UNIMAS khususnya Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi berpeluang untuk mengenali latar belakang, cabaran dan keperluan bakal mahasiswa sebelum mereka melangkah ke kampus untuk meneruskan pengajian dan bergelar mahasiswa. Pada masa yang sama, kunjungan ini turut memberikan ruang kepada keluarga untuk berkongsi harapan dan impian terhadap masa depan anak mereka di UNIMAS nanti.

Menyantuni Saudari Ellmisha

Antara penerima yang disantuni dalam program ini ialah Saudari Ellmisha binti Ibrahim dari Kampung Tepi Laut, Gerigat yang bakal memulakan pengajian dalam bidang Linguistik di FPBK, UNIMAS. Dalam ziarah tersebut, Bantuan Permulaan Pengajian berjumlah RM1,000.00 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UNIMAS telah disampaikan bagi membantu meringankan beban persediaan awal pengajian. Selain bantuan tersebut, pihak FPBK turut menyampaikan sumbangan kepada Saudari Ellmisha. Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Dr. Santrol bin Abdullah, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPBK, iaitu wang saguhati, beg kuliah, barangan keperluan kolej kediaman serta keperluan pengajaran dan pembelajaran.

Sumbangan ini mungkin kelihatan sederhana, namun bagi seorang bakal mahasiswa dan keluarganya, ia membawa makna yang besar. Bantuan tersebut merupakan tanda sokongan dan harapan pihak Fakulti bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan untuk menamatkan pengajian nanti. Di sebalik setiap mahasiswa yang melangkah ke menara gading, tersimpan harapan besar sebuah keluarga. Begitu juga dengan Saudari Ellmisha dan mahasiswa lain yang bakal memulakan pengajian di UNIMAS. Harapan keluarga bukan semata-mata untuk melihat anak mereka memperoleh segulung ijazah, tetapi lebih jauh daripada itu iaitu mereka mengimpikan kejayaan yang mampu mengubah kehidupan keluarga pada masa hadapan. Pendidikan merupakan satu laluan untuk mahasiswa membina masa depan yang lebih baik, meningkatkan taraf kehidupan dan pada suatu hari nanti berbakti serta membantu keluarga yang telah banyak berkorban demi kejayaan mereka.

Justeru, pihak FPBK turut menaruh harapan agar semua mahasiswa baharu dapat menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin. Kesungguhan dalam pembelajaran, disiplin, ketabahan menghadapi cabaran serta sikap tidak mudah berputus asa merupakan antara kunci penting untuk mencapai kejayaan. FPBK sentiasa komited untuk membantu dan membimbing mahasiswa sepanjang mereka berada di UNIMAS, bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi juga dari sudut kebajikan, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan mahasiswa. Fakulti akan terus berusaha mewujudkan ruang sokongan yang dapat membantu mahasiswa menghadapi cabaran pengajian serta memastikan mereka mendapat bimbingan yang sewajarnya sepanjang berada di universiti.

Program Ziarah Prihatin UNIMAS 2026 membawa mesej bahawa kejayaan mahasiswa merupakan tanggungjawab yang dikongsi bersama antara mahasiswa, keluarga, fakulti dan universiti. Bagi keluarga yang kurang bernasib baik, anak yang berjaya dalam pendidikan merupakan satu kebanggaan dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah. Bagi fakulti pula, kejayaan setiap mahasiswa merupakan satu amanah dan kebanggaan yang perlu diperjuangkan bersama. Melalui program seperti ini, FPBK berharap agar para mahasiswa baharu dapat memulakan perjalanan akademik mereka dengan penuh keyakinan dan semangat. Mereka diingatkan bahawa cabaran yang bakal dihadapi sepanjang pengajian adalah sebahagian daripada proses membentuk diri menjadi insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Lebih penting, kejayaan yang dicapai kelak diharapkan bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, malah dapat dikongsi bersama keluarga dan masyarakat. Mahasiswa yang berjaya diharapkan mampu kembali menyumbang kepada keluarga yang telah menyokong mereka serta menjadi inspirasi kepada adik-beradik dan generasi seterusnya.

Ziarah Prihatin UNIMAS 2026 yang turut membawa misi dan Visi FPBK akhirnya bukan sekadar sebuah program penyampaian bantuan, tetapi satu simbol bahawa setiap mahasiswa mempunyai nilai, potensi dan masa depan yang diyakini oleh universiti. Daripada sebuah rumah di kampung, bermula sebuah impian untuk menjejak kaki ke universiti. Maka, daripada sebuah impian itu, lahir harapan agar suatu hari nanti seorang anak yang berjaya mampu kembali mengangkat kehidupan keluarganya. FPBK akan terus bersama mahasiswa, membantu, membimbing dan menyokong mereka sepanjang perjalanan menuntut ilmu di UNIMAS.