Oleh SITI NURAIN RATANI, Wartawan Suara Sarawak.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ts. Syahrul Nizam Junaini
KUCHING: Wartawan tidak boleh menerima bulat-bulat maklumat yang dihasilkan kecerdasan buatan (AI) kerana teknologi itu masih boleh ‘berhalusinasi’ dan menghasilkan fakta yang salah, kata Ts. Syahrul Nizam Junaini.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, walaupun maklumat berkenaan kelihatan meyakinkan, wartawan tetap perlu menyemak semula fakta dengan sumber asal sebelum menggunakannya.
“Halusinasi ialah keupayaan AI untuk menjana maklumat yang nampak betul tetapi rupanya salah.
“Justeru, yang menentukan sama ada maklumat itu tepat atau tidak ialah pengamal media itu sendiri.
“Pengamal media perlu menyemak dua kali, tiga kali dan merujuk sumber asal,” katanya ketika ditemui selepas mengendalikan kursus AI untuk pengamal media Suara Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata masalah berkenaan antaranya berpunca daripada data yang digunakan AI serta sistem pembelajaran mesin yang masih berkembang.
Justeru, beliau berkata penggunaan arahan yang jelas juga penting bagi mengurangkan kemungkinan AI menghasilkan kandungan yang tidak diperlukan atau menyimpang daripada kehendak pengguna.
“Contohnya, kita boleh meletakkan arahan khusus seperti ‘jangan’ dan menetapkan sempadan supaya AI tidak menyentuh perkara yang tidak diperlukan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Syahrul berkata kelemahan itu bukan alasan untuk wartawan menolak penggunaan AI kerana teknologi berkenaan boleh membantu mempercepat tugasan tertentu.
“Produktiviti wartawan berpotensi meningkat sehingga dua atau tiga kali ganda jika AI digunakan dengan betul.
“Namun, jangan serah kepada AI 100 peratus sebab kita masih perlukan pertimbangan manusia,” jelasnya.
Ujarnya, kepantasan yang ditawarkan AI juga tidak sepatutnya mengorbankan kualiti kerana sebarang kesilapan yang berlaku tetap menjadi tanggungjawab wartawan.
Syahrul berkata AI juga masih belum mampu menyamai sepenuhnya hasil kerja manusia, khususnya dalam tugasan yang memerlukan pertimbangan, kreativiti dan sentuhan profesional.
“Contohnya jika kita menghasilkan sesuatu grafik, sejujurnya lima saat ia boleh siap, namun jika kita bertanya kepada pereka grafik, mungkin mereka akan mengatakan bahawa hasil tersebut mempunyai kualiti yang rendah.
“Sehubungan itu, pengamal media digalakkan mencuba AI secara berperingkat dan tidak terlalu takut melakukan kesilapan ketika meneroka teknologi berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syahrul berkata kemahiran automasi dan penggunaan ejen AI dijangka semakin penting dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang kerana teknologi itu mampu melaksanakan tugasan berdasarkan arahan pengguna.
Beliau turut menggesa wartawan di Sarawak supaya memperbanyak penghasilan kandungan tempatan yang berkualiti kerana bahan berkenaan berpotensi menjadi sumber data kepada sistem AI.

Pengamal media merakamkan gambar kenangan bersama Pensyarah kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ts. Syahrul Nizam Junaini
“Kita, pengamal media dari Sarawak, perlu memperbanyakkan dan giat menghasilkan kandungan yang berkualiti.
“Sebab kandungan berkualiti ini akan digunakan oleh AI untuk dijadikan data supaya AI lebih mantap,” katanya.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak Datuk Dr Jeniri Amir serta Editor Eksekutif Rohana Wahed.
Nota Editor: Artikel ini pada asalnya diterbitkan oleh Suara Sarawak dan diterbitkan semula oleh UNIMAS Gazette dengan kebenaran. Hak cipta kekal menjadi milik pemegang hak yang berkenaan.