August 16, 2026

Kota Samarahan: Kolej Bunga Raya, UNIMAS muncul johan keseluruhan dalam Festival Sukan Air Inter oleh UNIMAS 2026, mengalahkan lapan kolej UNIMAS lain yang berentap dalam Festival Sukan Air Inter Kolej UNIMAS pada April lepas.

Festival tersebut yang merupakan anjuran Arena Tun Tuanku Haji Bujang dengan kerjasama Kelab Mendayung dan Kelab Kayak UNIMAS, menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti sukan, di samping memperkukuh semangat kesukanan, kerjasama dan persahabatan antara kolej kediaman. Sistem pungutan mata berdasarkan pencapaian pingat emas, perak dan gangsa telah digunakan bagi menentukan kedudukan keseluruhan setiap pasukan.

Kolej Bunga Raya muncul sebagai johan keseluruhan selepas mendominasi pungutan mata dengan jumlah 91 mata, hasil prestasi cemerlang para atletnya dalam pelbagai acara yang dipertandingkan. Kolej Cempaka pula menduduki tempat kedua dengan 42 mata, manakala Kolej Allamanda melengkapkan kelompok tiga terbaik di tempat ketiga dengan 41 mata.

Penganjuran Festival Sukan Air Inter Kolej UNIMAS 2026 membuktikan bahawa aktiviti sukan bukan sahaja mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah menjadi medium penting dalam membentuk pelajar yang mempunyai semangat berpasukan, disiplin, daya saing dan kepimpinan.