Disediakan oleh: Marchelle Anak Matin
Kota Samarahan, 10 Jun 2026 – Program Hari Mata Pelajaran Umum (MPU) Peringkat Universiti 2026 yang julung kali diadakan berjaya menghimpunkan penyertaan mahasiswa daripada 10 buah fakulti di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam usaha memperkukuh budaya kreativiti, integriti dan kesedaran sosial dalam kalangan pelajar universiti.
Program anjuran Unit Mata Pelajaran Umum (MPU) dengan kerjasama Persatuan Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi (PERBAKOM) telah berlangsung di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), UNIMAS dan melibatkan pelajar kursus MPU3182 Falsafah dan Isu Semasa (FIS) serta MPU3372 Integriti dan Anti Rasuah (KIAR).
Sebelum majlis perasmian berlangsung, pertandingan pembentangan poster telah diadakan seawal jam 8.30 pagi melibatkan penyertaan wakil terbaik daripada setiap fakulti. Penjurian bagi pertandingan video kreatif dan poster turut dijalankan bagi menentukan pemenang untuk setiap kategori yang dipertandingkan.
Majlis perasmian dan penutupan program kemudiannya berlangsung pada jam 10.30 pagi yang telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pendaftar merangkap Wakil Pengarah Pusat Pengajian Prasiswazah, Encik Fadly Faizal Rakawi.

“Melalui platform digital dan media sosial, anda semua telah menterjemahkan konsep falsafah dan nilai anti-rasuah ke dalam bentuk kandungan yang segar, dinamik dan mudah difahami oleh masyarakat,” – Ketua Penolong Pendaftar, Pusat Pengajian Prasiswazah, Encik Fadly Faizal bin Rakawi
Dalam ucapan perasmiannya, beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen dan dedikasi dalam merealisasikan penganjuran program yang berimpak tinggi tersebut buat pertama kali di peringkat universiti. Beliau turut menekankan bahawa penghasilan poster dan video kreatif oleh mahasiswa bukan sahaja memenuhi keperluan akademik, malah berupaya menjadi medium penyampaian mesej yang efektif kepada masyarakat melalui penggunaan platform digital dan media sosial
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk Pertandingan Pembentangan Poster Falsafah dan Isu Semasa, Pertandingan Pembentangan Poster Integriti dan Anti Rasuah, serta Pertandingan Video Kreatif bagi kedua-dua kursus tersebut.
Video dan poster terbaik daripada setiap fakulti turut dikongsikan menerusi platform media sosial rasmi FPBK sebagai medium untuk memperluaskan penyebaran mesej berkaitan integriti, falsafah dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat umum.

Bagi kategori Poster FIS, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah dipilih oleh para juri sebagai juara, manakala kategori Poster KIAR dimenangi oleh Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS).
Sementara itu, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) muncul sebagai juara bagi kategori Video Kreatif FIS, manakala Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) berjaya merangkul gelaran juara bagi kategori Video Kreatif KIAR.

Penyampaian Sijil Penghargaan oleh Ketua Penolong Pendaftar merangkap Wakil Pengarah Pusat Pengajian Prasiswazah, Encik Fadly Faizal bin Rakawi kepada Ketua Juri, Encik Dzulkarnain bin Shazali. Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada para juri serta peserta pertandingan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan penglibatan mereka dalam menjayakan program tersebut.
Selaras dengan tema program, “Mencetus Kreativiti, Memperkasa Integriti”, penganjuran Hari MPU UNIMAS 2026 diharap dapat diteruskan sebagai platform tahunan universiti dalam melahirkan graduan holistik, beretika dan berdaya saing sejajar dengan aspirasi UNIMAS.
