Written by Dr. Faizan Iza binti Zainuddin, FEB UNIMAS
WATERFRONT KUCHING, SARAWAK, 23 MEI 2026 – Pembangunan teknologi Virtual Reality (VR) dan Augmented Reality (AR) oleh program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah muncul sebagai pemangkin utama dalam mentransformasikan landskap pelancongan Kampung Tringgus Bong kepada pengalaman digital yang lebih interaktif, inovatif dan berdaya saing pada era globalisasi.

Melalui pembangunan VR dan AR, pengunjung kini berpeluang merasai pengalaman maya yang imersif terhadap destinasi pelancongan utama seperti “Curtain Waterfall”, “Batang Waterfall”, sistem konservasi Tagang, serta suasana autentik ladang kopi Liberica sebelum berkunjung secara fizikal. Pendekatan ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelancong, malah berjaya meningkatkan keterlihatan kampung di platform digital serta memperluas capaian promosi ke peringkat antarabangsa, sekali gus menarik minat pelancong dari luar negara. Selain itu, pembangunan ekosistem digital yang komprehensif turut merangkumi laman web rasmi pelancongan Kampung Tringgus Eco-Tourism, pengurusan platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok, serta pengenalan Umaya AI Tourism Chatbot. Inisiatif ini telah memudahkan akses kepada maklumat pelancongan secara masa nyata, di mana maklumat berkaitan pakej pelancongan, aktiviti komuniti dan tarikan tempatan dapat diakses dengan lebih pantas, sistematik dan mesra pengguna, selaras dengan keperluan pelancongan moden.
Sebagai pelengkap kepada inovasi digital ini, pakej E-Kg Tringgus Eco-Tourism turut diperkenalkan dengan menyusun semula tarikan tempatan kepada produk pelancongan yang lebih tersusun, berstruktur dan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan. Pakej ini bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada pengalaman pelancong melalui gabungan elemen alam semula jadi, budaya dan komuniti, malah membuka peluang penjanaan ekonomi yang lebih mampan untuk penduduk setempat. Pelaksanaan program ini melibatkan pelbagai aktiviti lapangan yang dijalankan secara menyeluruh di beberapa lokasi utama termasuk Kampung Tringgus Bong dan Sekolah Kebangsaan Tringgus. Impak program ini turut diperluas melalui Mini Showcase IDCT 2.0 yang berlangsung pada 23 Mei 2026 di Indah House, Kuching. Showcase tersebut diadakan menerusi kolaborasi dalam acara “Berambeh Indah, Musim Menuai Harapan” sebagai platform strategik untuk mempamerkan hasil inovasi digital dan teknologi pelancongan kepada komuniti dan pihak industri.
Menurut Dr. Faizan Iza binti Zainuddin, selaku mentor utama program IDCT 2.0, integrasi teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI), AR, VR dan media sosial telah menjadi pemangkin utama dalam mempercepat transformasi pelancongan komuniti ke arah yang lebih inovatif dan berdaya saing. Beliau menegaskan bahawa gabungan teknologi, penglibatan aktif pelajar dan komuniti bukan sahaja meningkatkan keterlihatan destinasi luar bandar, malah mewujudkan pengalaman pelancongan yang lebih interaktif, imersif dan bermakna.

Program ini turut dijayakan oleh barisan pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebagai wakil pasukan IDCT 2.0 yang terdiri daripada Alexander Brian Nyawai Ngian, Evana Tony Ewan, Samuel Asriel anak Daos, Charlene Audrey binti Augustine, dan Dayang Nur’Aleeya Maisarah binti Awang Nordin. Komitmen, kerjasama dan kreativiti yang ditunjukkan oleh setiap ahli pasukan telah memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek ini.
Secara keseluruhannya, pembangunan VR dan AR melalui program ini membuktikan bahawa integrasi teknologi digital dan kolaborasi strategik mampu memperkukuh pembangunan pelancongan komuniti. Kampung Tringgus Bong kini semakin bersedia untuk berkembang sebagai destinasi eko-pelancongan digital yang progresif dan berdaya saing di Sarawak.