June 9, 2026
Picture1

Ditulis oleh : Raif Ruzain Abdul Halim, Caroline Anak Sirai & Dr Vimala Govindaraju

KOTA SAMARAHAN, 15 Mei 2026: Pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Strategik Tahun 3, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah berjaya menganjurkan Sesi Program Perkongsian Ilmu di bawah kursus PBF3164 Ekonomi Media yang bertempat di Lobi Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), UNIMAS.

Program yang berlangsung dari jam 9:00 pagi sehingga 11:00 pagi itu menampilkan Pengurus Program CATS FM, Haji Mohamad Fadzli bin Daud, atau lebih dikenali sebagai Emcee Fuzz.

Kehadiran beliau sebagai penceramah jemputan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar yang merangkumi empat topik iaitu Struktur dan Perubahan Industri Komunikasi, Ekonomi dan Industri hiburan, Ekonomi dan Industri Penyiaran dan Ekonomi dan Pengiklanan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Dekan, Dr. Santrol bin Abdullah, Pensyarah Program Komunikasi Strategik, Dr. Vimala a/p Govindaraju dan Puan Siti Haslina binti Hussin.

Menurut Caroline Anak Sirai, selaku Pengarah Program, pengisian program ini amat penting bagi memberikan pendedahan tambahan kepada para pelajar berkaitan bidang Ekonomi Media serta perkembangan industri media pada masa kini.

Bagi mendalami cabaran industri, satu sesi soal jawab interaktif telah diadakan bersama para pelajar. Berikut merupakan antara intipati penting dan pandangan yang dikongsikan oleh Emcee Fuzz sepanjang sesi tersebut.

Menjawab pertanyaan daripada wakil pelajar, Putri Nea Kasih, mengenai trend industri yang perlu dihadapi oleh pelajar universiti dalam tempoh lima tahun akan datang, Emcee Fuzz menegaskan bahawa penguasaan dalam bidang penyuntingan video merupakan kemahiran kritikal yang wajib dikuasai oleh mahasiswa masa kini.

Selain kemahiran teknikal tersebut, aspek kreativiti tetap menjadi keperluan asas yang sangat penting bagi peranan seperti penulis skrip atau penerbit. Keunikan kreativiti individu inilah yang akhirnya menentukan nilai gaji dan bayaran mereka di pasaran.

Pelajar seterusnya, Gloria Tanin, mengutarakan soalan mengenai tips mempromosikan diri di media sosial bagi menarik perhatian syarikat untuk pengambilan latihan industri. Emcee Fuzz menekankan kepentingan membina penjenamaan diri (personal branding) yang kukuh. Beliau menyarankan agar media sosial digunakan sebagai bukti nyata untuk menunjukkan bakat, seperti memuat naik tugasan mengacarakan majlis sekiranya mahu dikenali sebagai seorang emcee.

Beliau turut menitipkan pesanan bermakna kepada pelajar bakal menjalani praktikal:

Buang sikap pemalu dan lebih aktif bergaul dengan cara mendekati serta memperkenalkan diri kepada individu yang bertanggungjawab apabila menghadiri sesuatu acara. Edarkan kad perniagaan dan nyatakan perkhidmatan yang boleh ditawarkan, serta miliki daya ketahanan yang tinggi untuk menempuh cabaran industri.

Dalam aspek ekonomi penyiaran, Mac Michelle Imok, mempersoalkan cara terbaik stesen penyiaran tempatan menyeimbangkan kos penerbitan yang tinggi ketika penjanaan pendapatan pengiklanan tradisional semakin berkurangan akibat penonton yang bebas memilih kandungan.

Mengulas isu tersebut, beliau menjelaskan bahawa stesen penyiaran kini amat bergantung kepada tajaan (sponsor) untuk membiayai program bagi mengelakkan pembaziran. Berdasarkan pengalamannya, pengiklanan tradisional kini wajib digabungkan dengan media sosial (strategi hibrid) bagi mendapatkan penglibatan (engagement) penonton yang lebih tinggi.

Sesi soal jawab diakhiri dengan soalan daripada Amier Tharief mengenai kaedah syarikat menentukan bajet pengiklanan mereka.

Menurut Emcee Fuzz, penentuan bajet bergantung sepenuhnya kepada tempoh masa slot iklan tersebut disiarkan (sama ada jangka masa sebulan atau setahun).

Beliau turut berkongsi realiti bahawa pelaburan tinggi seperti meletakkan iklan di papan tanda bernilai RM70 ribu ada kalanya hanya memberikan pulangan sekitar RM30 ribu sahaja. Oleh itu, syarikat yang tidak mempunyai platform pengiklanan sendiri terpaksa bergantung kepada pihak luar dan model penajaan untuk menampung kos yang tinggi ini.

Program perkongsian ilmu ini tamat pada jam 11:00 pagi dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Emcee Fuzz dan diakhiri dengan sesi fotografi bersama para pensyarah serta pelajar Komunikasi Strategik UNIMAS.

Penyampaian sijil penghargaan oleh Dr. Vimala a/p Govindaraju kepada Pengurus Program CATS FM, Haji Mohamad Fadzli bin Daud (Emcee Fuzz).

Dari kiri: Haji Mohamad Fadzli bin Daud bersama Pensyarah Program Komunikasi Strategik, Puan Siti Haslina binti Hussin dan Dr. Vimala a/p Govindaraju (tengah) serta pelajar-pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Strategik Tahun 3 UNIMAS selepas tamat Program Sesi Perkongsian Ilmu dibawah Kursus PBF3164 Ekonomi Media di Lobi FPBK.