
KOTA SAMARAHAN, 27 April 2026 – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila pelajar Tahun 4, Muhammad Amnan Muhammad Sani, muncul juara bagi kategori Hafazan Al-Quran Juzuk 1 hingga 10 pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M.
Majlis berprestij itu berlangsung pada 13 hingga 18 April 2026 di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu.
Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar FSKTM bukan sahaja menyerlah dalam bidang akademik dan teknologi, malah turut cemerlang dalam aspek pembangunan sahsiah, penghayatan nilai murni, dan kecemerlangan rohani.
Pencapaian Muhammad Amnan turut mencerminkan kecemerlangan holistik mahasiswa UNIMAS yang mampu bersaing dan menonjol di peringkat kebangsaan dalam pelbagai bidang.
Warga fakulti menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut dan berharap agar kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa untuk terus berusaha mencipta kejayaan serta mengharumkan nama universiti pada masa hadapan.
#mypdti