April 10, 2026

Kampung Sinar Budi, 16 Februari 2026 – Seramai 180 penduduk yang terjejas akibat bencana banjir telah menerima bantuan melalui pelaksanaan Projek Komuniti Pasca Banjir yang dianjurkan di Kampung Sinar Budi baru-baru ini. Program ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyaluran bantuan fizikal, malah turut mengintegrasikan elemen Psychological First Aid (PFA) atau Sokongan Psikologi Awal bagi membantu penduduk memulihkan kesejahteraan emosi selepas berdepan pengalaman trauma akibat banjir.

Majlis penyerahan bantuan tersebut telah disaksikan oleh Ketua Kampung bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta barisan sukarelawan yang terlibat secara langsung dalam penyelarasan program. Bantuan yang diagihkan merangkumi barangan keperluan asas seperti makanan kering, kit kebersihan serta keperluan harian bagi meringankan beban keluarga terjejas.

Selain penyaluran bantuan material, pendekatan PFA telah dilaksanakan secara berperingkat oleh fasilitator dan sukarelawan terlatih. Pendekatan ini memberi fokus kepada tiga komponen utama, iaitu mendengar dengan empati, menenangkan emosi, dan menghubungkan mangsa dengan sokongan sosial serta sumber bantuan yang relevan. Penduduk turut diberikan ruang untuk berkongsi pengalaman dan perasaan mereka dalam suasana yang selamat dan tidak menghakimi.

Menurut penyelaras program, pengalaman banjir bukan sahaja memberi kesan kepada aspek fizikal seperti kerosakan harta benda, malah turut memberi tekanan psikologi seperti kebimbangan, keresahan dan keletihan emosi. Oleh itu, pelaksanaan PFA dianggap penting bagi membantu penduduk menstabilkan emosi, meningkatkan daya tindak (coping skills), serta mengurangkan risiko tekanan berpanjangan.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Dr Hana Hamidi, sebagai simbolik pelancaran serta komitmen fakulti dalam memperkasa kesejahteraan komuniti. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas sinergi strategik antara pihak akademia dan rakan kolaborasi dalam menjayakan inisiatif berimpak tinggi ini.

Projek ini merupakan hasil kerjasama erat antara Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM), PEKAMARA dan Yayasan Hasanah yang berganding bahu dalam merealisasikan program berorientasikan pembangunan psikososial dan kesejahteraan masyarakat. Kolaborasi ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan sokongan sosial serta memperluas impak intervensi berasaskan komuniti.

Ketua Kampung dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berganding bahu menjayakan projek ini. Beliau menyatakan bahawa bantuan yang diberikan bukan sahaja membantu dari sudut material, malah pendekatan psikososial seperti PFA amat bermakna dalam memastikan penduduk benar-benar pulih secara menyeluruh.

“Banjir ini menguji ketahanan fizikal dan emosi penduduk. Kehadiran pasukan sukarelawan yang bukan sahaja memberi bantuan barangan tetapi juga mendengar dan menyantuni penduduk amat kami hargai,” katanya.

Penduduk yang ditemui turut menyatakan rasa syukur atas keprihatinan pelbagai pihak. Mereka merasakan pendekatan yang lebih mesra dan empatik memberi kekuatan moral untuk bangkit semula serta membina semula kehidupan seperti sediakala.

Projek Komuniti Pasca Banjir ini diharapkan menjadi model pemulihan berasaskan komuniti yang menekankan keseimbangan antara bantuan fizikal dan sokongan psikososial. Melalui pendekatan menyeluruh ini, kesejahteraan komuniti dapat diperkukuh dan daya tahan masyarakat terhadap bencana pada masa hadapan dapat dipertingkatkan.

Penyelaras Projek : Dr Mohd Shahrul Bin Kamaruddin