KOTA SAMARAHAN | 29 November 2025 – Satu program komuniti dinamik bertajuk Program Perpustakaan Desa: Memperkasa Budaya Ilmu, Kreativiti dan Kemahiran Digital telah berjaya dilaksanakan pada 29 November 2025 di Perpustakaan Desa Kampung Niup.
Program anjuran pelajar KMK3163 (Pengurusan Projek) dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini dikendalikan oleh kumpulan OPTIMANAGE di bawah bimbingan Dr. Wan Norizan binti Wan Hashim.
Program sepanjang hari ini memfokuskan dua teras utama, iaitu pemindahan kemahiran digital kepada belia dan pustakawan, serta pemerkasaan kreativiti melalui aktiviti komuniti untuk remaja setempat.

Kumpulan Optimanage bersama pustakawan PD Niup dan para peserta di perpustakaan desa kampung Niup
Memacu Literasi Digital dengan Weebly
Aktiviti pagi dimulakan dengan Bengkel Pembinaan Laman Web menggunakan Weebly yang melibatkan empat orang belia dan seorang pustakawan. Dengan bimbingan ahli OPTIMANAGE, peserta didedahkan kepada asas reka bentuk laman web, prinsip UI/UX mesra pengguna serta kepentingan aksesibiliti. Melalui pendekatan pembelajaran praktikal, peserta berjaya membina dan menerbitkan laman web interaktif pertama mereka, sekali gus membuka ruang baharu untuk komunikasi digital dan pembangunan portfolio.
“Saya sangat teruja kerana akhirnya tahu cara membuat laman web sendiri. Ia lebih mudah daripada sangkaan,” kongsi seorang peserta belia.
Sesi bengkel pemindahan ilmu pengetahuan melalui Weebly sedang dijalankan.
Merapatkan Hubungan Komuniti Melalui Seni Origami

Para peserta sedang membuat origami dan hasil karya yang dibimbing oleh fasilitator
Para peserta sedang membuat origami dan hasil karya yang dibimbing oleh fasilitator OPTIMANAGE.
Menjelang petang, suasana Perpustakaan Desa menjadi lebih meriah dengan kehadiran kira-kira 15 orang remaja bagi Bengkel Kad Ucapan Origami. Aktiviti ini bukan sahaja mengajar teknik lipatan kertas, malah menjadi medium untuk menzahirkan penghargaan dan emosi positif. Peserta menghasilkan origami berbentuk hati dan sampul surat yang kemudiannya dijadikan kad ucapan untuk ahli keluarga dan rakan.
Kemuncak program ialah pertandingan melipat origami ‘ExtraL’ secara berkumpulan, yang menyerlahkan semangat kerjasama serta kreativiti peserta dalam tempoh masa yang ditetapkan. Pustakawan desa bertindak sebagai juri bagi menilai hasil karya setiap kumpulan.

Sesi penyampaian hadiah dan sesi bergambar.
Sumbangan kepada Masyarakat dan Pembelajaran
Program ini selari dengan aspirasi Bandar Mesra Kanak-kanak dengan menyediakan ruang pembelajaran yang selamat, inklusif dan menyeronokkan untuk remaja. Bagi pustakawan dan belia, kemahiran digital yang dipelajari diharap dapat dimanfaatkan untuk mempromosikan perkhidmatan perpustakaan serta inisiatif komuniti dengan lebih berkesan.
Menurut Ketua Projek OPTIMANAGE, kejayaan program ini merupakan hasil komitmen semua ahli kumpulan serta kerjasama erat pihak Perpustakaan Desa Kampung Niup. Program ini juga menjadi pengalaman bermakna kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori pengurusan projek secara langsung dalam konteks komuniti sebenar.
Program diakhiri dengan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada semua peserta serta sesi bergambar kenangan. Kumpulan OPTIMANAGE berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan bagi menyemai budaya ilmu dan inovasi secara berterusan di peringkat akar umbi.
Projek bimbingan Dr. Wan Norizan binti Wan Hashim
