KE ARAH KELESTARIAN DAN KEBAJIKAN HOLISTIK PELAJAR
KOTA SAMARAHAN, 22 JANUARI 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menegaskan komitmen teguh untuk menterjemahkan aspirasi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 ke dalam pelaksanaan strategik yang berimpak tinggi kepada pembangunan insan, masyarakat, dan negara.
Pelancaran kedua-dua rancangan pada 20 Januari 2026 oleh YAB Perdana Menteri menekankan bahawa pendidikan bukan sahaja alat pembangunan ekonomi, tetapi juga pemangkin mobiliti sosial, pembentukan nilai, dan kesejahteraan holistik rakyat Malaysia. RPN menekankan pendidikan yang inklusif, adil, berkesan dan berpandangan jauh dari peringkat pra-sekolah hingga ke universiti, manakala RPTM menekankan kesinambungan pendidikan tinggi, pembangunan bakat, kelestarian, dan penyelidikan berimpak kepada masyarakat dan alam sekitar.
Sejajar dengan itu, UNIMAS memperkukuh peranannya sebagai universiti awam di Borneo dengan menjadikan kelestarian, perluasan akses pendidikan tinggi yang saksama, keterangkuman, serta pemerkasaan TVET dan laluan fleksibel pembelajaran sebagai teras transformasi institusi.

Menurut Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit,
“RPN dan RPTM 2026–2035 menekankan pendidikan yang membina insan secara holistik — berilmu, berakhlak dan berdaya tahan. UNIMAS menyahut aspirasi ini melalui pelaksanaan Dasar ESG (Environmental, Social and Governance) dan Pelan Tindakan Kampus Rendah Karbon 2030. Pendidikan tinggi bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina generasi yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara dengan penuh tanggungjawab.”
Beliau menambah bahawa pengiktirafan UNIMAS sebagai Naib Pengerusi (Jalinan dan Kerjasama) Hub SDG 15 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations, UN), yang memfokuskan kepada pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem daratan, memperkukuh kedudukan universiti sebagai peneraju pendidikan tinggi berteraskan kelestarian. Integrasi teknologi tenaga solar di seluruh kampus serta pencapaian cemerlang dalam Times Higher Education (THE) World Impact Rankings 2025 membuktikan komitmen UNIMAS terhadap penyelidikan berimpak dan transformasi komuniti lestari.
Sejajar dengan aspirasi akses saksama dan inklusif RPN dan RPTM, UNIMAS memberikan perhatian serius terhadap keadilan sosial dan mobiliti pendidikan tinggi. Universiti menyokong penuh inisiatif kerajaan dalam menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar daripada keluarga miskin tegar, selaras dengan agenda mobiliti sosial RPTM dan keterangkuman RPN.

UNIMAS memperkukuh ekosistem sokongan pelajar melalui bantuan Insentif Kecemerlangan Sulong Sesi 2025/2026 di bawah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, tabung endowmen dan wakaf seperti Program Kasih Insani dan Tabung Ilmu di setiap fakulti melalui platform e-Donation, serta penyediaan infrastruktur inklusif dan sistem pembelajaran digital mesra OKU.
Bagi laluan pra-universiti, UNIMAS menyokong penyelarasan semula program Matrikulasi dan Tingkatan 6 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sejajar dengan aspirasi RPTM dan RPN untuk penyediaan pelajar pra-universiti yang lebih bersepadu, kompeten, dan bersedia mental serta akademik.
Pemerkasaan Mata Pelajaran Umum (MPU) juga menjadi fokus UNIMAS dalam membentuk graduan holistik. Selaras dengan RPN dan RPTM, kurikulum MPU diperkaya dengan elemen kewarganegaraan global, etika digital, kelestarian, dan nilai kemanusiaan, diintegrasikan dengan budaya dan kearifan tempatan Sarawak, bagi melahirkan graduan yang mampu berfikir kritis, bertanggungjawab, dan berkesedaran sivik tinggi.
Memahami bahawa kesejahteraan pelajar bermula dari persekitaran pembelajaran, UNIMAS komited untuk meningkatkan kapasiti dan kualiti penginapan pelajar, memastikan tempat tinggal selamat, selesa dan mampu milik, selari dengan aspirasi RPN dan RPTM. Langkah ini membolehkan pelajar menumpukan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan pembangunan diri.

UNIMAS juga memperkukuh dasar meritokrasi dengan menyediakan jaminan tempat bagi pelajar cemerlang dengan menyediakan program-program akademik berkualiti, pengalaman pembelajaran yang holistik dan bantuan khas untuk pelajar cemerlang untuk menarik bakat terbaik negara dan memberi peluang jaringan industri serta penyelidikan bertaraf antarabangsa.
Melalui sinergi antara visi RPN, RPTM, dan Pelan Strategik UNIMAS 2026–2030, universiti yakin bahawa generasi akan lahir bukan sahaja kompeten secara intelektual, tetapi juga berintegriti, holistik, dan prihatin terhadap komuniti dan alam sekitar.
UNIMAS akan terus berperanan sebagai ejen perubahan dinamik, memastikan pendidikan tinggi yang berkualiti, inklusif, dan berkeadilan dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia, sejajar dengan aspirasi RPN & RPTM 2026–2035 dan hala tuju strategik Pelan UNIMAS 2026–2030.
