Ditulis oleh: Yvonnie Anak Jambok & Debbie Novina Cassandra John dan Dr Vimala a/p Govindaraju
Kuching, 17 Disember 2025 – Seramai 42 pelajar tahun akhir Program Komunikasi Strategik, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menganjurkan Projek Service-Learning Malaysia–University for Society (SULAM) di Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching dalam Program “Golden Care: Happy Bonds, Healthy Elders“.
Program “Golden Care: Happy Bonds, Healthy Elders” yang dibimbing oleh Penyelaras Kursus PBK4204 Pengurusan Strategik Kempen dan Acara, Dr. Vimala Govindaraju, melibatkan penyertaan 40 penghuni warga emas RSK Kuching. Program berkonsepkan khidmat komuniti ini memberi tumpuan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik serta SDG 10 iaitu Pengurangan Ketidaksamarataan. Inisiatif ini juga seiring dengan komponen Sosial dalam kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang diangkat UNIMAS sebagai sebuah universiti berpaksikan komuniti demi masa depan lestari.


Pengarah program Debbie Novina Cassandra John berkata, projek ini merupakan usaha bersama untuk menjalin hubungan antara generasi muda dan warga emas, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesejahteraan warga emas, serta memberikan impak positif kepada kesihatan dan kebahagiaan mereka melalui aktiviti interaktif bersama pelajar.
Menurut Debbie, program “Golden Care: Happy Bonds, Healthy Elders” bukan sahaja memenuhi keperluan akademik SULAM, malah memberi peluang kepada pelajar mendampingi warga emas, memahami keperluan mereka dan menghargai nilai kemanusiaan melalui interaksi secara langsung. Beliau turut berkongsi bahawa sebelum program ini, pihaknya menganjurkan kempen sokongan yang membantu merealisasikan program tersebut.

“Sepanjang kempen tersebut, kami mengadakan pameran ‘Together We Care’, ‘Donation Drive’ serta ‘Preloved Charity Sale’ yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM446. Dana itu disalurkan sepenuhnya dengan membeli barangan keperluan untuk penghuni RSK Kuching,” katanya. Usaha kolektif berteraskan komuniti ini mencerminkan komitmen UNIMAS sebagai universiti berpaksikan komuniti untuk dunia mampan, selari dengan agenda ESG universiti tersebut.
Program itu dirasmikan secara simbolik oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni merangkap wakil Dekan FPBK, Dr. Haji Santrol Abdullah, dengan pemotongan reben. Pengetua RSK Kuching, Dayang Siti Nurshamira Awang Talip, turut hadir menyalakan lampu “Pen Pal Tree” yang dihiasi nota berisi mesej dan harapan daripada pengunjung pameran ‘Together We Care’.

Dalam ucapannya, Dr. Haji Santrol menegaskan bahawa inisiatif di bawah SULAM menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman yang bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan, malah membentuk sahsiah, empati dan jati diri pelajar. “Program sebegini membuktikan universiti bukan sekadar melahirkan graduan berkelayakan, tetapi juga insan yang mempunyai nilai kemanusiaan serta rasa peduli terhadap masyarakat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Debbie menyatakan aktiviti yang diatur sepanjang program bukan sahaja menggalakkan interaksi antara pelajar dan warga emas, malah memberikan kesan positif terhadap kesihatan penghuni dari segi kognitif dan emosi.
Foto oleh Gretha Linetta
