December 11, 2025
IMG_20251205_174815_888

Disediakan oleh Siti Nasuha Singki dan Mohamad Junaidi Mohamad Tamini


KOTA SAMARAHAN, 29 November 2025 – Seramai 90 mahasiswa dan mahasiswi Program Pendidikan Islam, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS berjaya menganjurkan Projek Service-Learning Malaysia (SULAM) berimpak tinggi buat julung kalinya di Masjid Darul Sabirin, Kampung Empila, Kota Samarahan.

Program bertema “Transformasi Masyarakat dan Masjid Komuniti Berilmu” ini berfokus itu telah menarik minat seramai 28 orang dewasa dan 57 orang kanak-kanak daripada komuniti Kampung Empila, sekali gus mencerminkan sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

Projek setiap semester ini, telah menjadi inisiatif komuniti UNIMAS berterusan yang diharapkan dapat memupuk semangat kesukarelawanan serta budaya menyumbang kepada komuniti dalam kalangan pelajar universiti. Dalam Projek SULAM di Masjid Darul Sabirin pengisian yang menarik untuk mencapai matlamat berkenaan.

Seramai 57 orang kanak-kanak hadir memeriahkan Projek SULAM mahassiwa-mahasiswi Program Pendidikan Islam

Sebelumnya, wakil pelajar Program Pendidikan Islam FPBK telah mengadakan dua siri perbincangan muhibah dengan ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Sabirin yang antara lain merapikan perjalanan program selain membincangkan perkembangan projek.

Menurut Ketua Projek, Siti Nasuha binti Singki, Pensyarah Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, program SULAM ini merupakan satu platform berimpak tinggi yang telah mencapai kejayaan cemerlang, terutama dalam memperkukuh jalinan mesra dan sinergi strategik antara pelajar UNIMAS dan komuniti Kampung Empila.

Sebanyak empat pengisian interaktif dan berfokus telah berjaya dilaksanakan, iaitu Praktikal Ibadah Solat Sempurna, Sinar Cilik Iqra’ dan al-Quran Kanak-Kanak, Gotong-Royong Persekitaran Masjid, serta Pameran Booth: Ekspo Pendidikan Fiqh.

Ujarnya lagi, pendekatan praktikal dan mesra komuniti ini telah membolehkan penduduk kampung bukan sahaja terlibat secara aktif, malah peserta kanak-kanak didapati menunjukkan peningkatan ketara dari segi kesedaran tentang kepentingan mempertingkatkan ilmu serta kualiti ibadah harian mereka.

Kanak-kanak Kampung Empila berpeluang memperkukuhkan kefahaman dan praktikal ibadah seperti Tayamum
Gotong-Royong di pekarangan Masjid Darul Sabirin oleh mahasiswa dan mahasiswi
Perkongsian semasa Ekspo Tarbiah Pendidikan Fiqh Ibadah seperti ibadah Tayamum kepada warga kampung
Sesi Praktikal Solat Ibadah Solat Sempurna kelompok dewasa bersama siswa Program Pendidikan Islam FPBK

Beliau turut berharap penganjuran projek berimpak tinggi seperti ini dapat terus mengukuhkan hubungan strategik yang mampan antara UNIMAS dan komuniti setempat, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 17: Perkongsian untuk Matlamat. Manakala, seiring dengan SDG 4: Pendidikan Berkualiti, khidmat komuniti berterusan dan berstruktur ini juga merupakan sasaran penting UNIMAS dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berakhlak mulia dan berintegriti.

Ke arah kedua-dua matlamat besar tersebut, UNIMAS memperteguhkan komitmen padu terhadap kerjasama erat antara institusi pendidikan dengan masyarakat luar bandar.

Penyampaian cenderahati antara oleh Ketua Projek kepada Pengerusi Masjid Darul Sabirin, Kampung Empila

Dalam majlis penangguhan, Pengerusi Masjid Darul Sabirin, Encik Rahman bin Raduan, menzahirkan setinggi-tinggi harapan agar UNIMAS meneruskan program berimpak tinggi seperti secara berterusan kerana diyakini mampu memberi kesan ilmu yang lebih mendalam kepada komuniti. Di akhir ucapannya beliau juga berharap agar pelbagai sudut jalinan kerjasama strategik dapat diterokai antara UNIMAS dan komuniti Kampung Empila.