16 Mei 2026, Universiti Malaysia Sarawak – Program Doktor Muda Dalam Komuniti (DMDK) bagi Kursus Kesihatan Keluarga Tahun 2, Sesi 2025/2026 yang melibatkan Kampung Tringgus Bong, Kampung Pengkalan Tebang, Kampung Tringgus Matan Nguan dan Kampung Tringgus Rabak Rotan, Bau, Sarawak telah berjaya dilaksanakan oleh pelajar Program Perubatan Tahun 2, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Program pembelajaran berasaskan komuniti ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu kesihatan awam, komunikasi kesihatan dan kemahiran klinikal secara langsung bersama masyarakat luar bandar.
Sebelum program kemuncak dijalankan, pelbagai aktiviti lapangan telah dilaksanakan bersama komuniti termasuk lawatan keluarga, penilaian kesihatan keluarga dan pengumpulan data komuniti dengan harapan pelajar dapat mengaplikasikan teori dan kemahiran yang dipelajari di dalam kelas ke dalam situasi sebenar di lapangan. Aktiviti ini membantu meningkatkan kemahiran pelajar dalam komunikasi interpersonal, pemeriksaan kesihatan asas, pendidikan kesihatan, kerja berpasukan serta pendekatan kesihatan komuniti secara langsung bersama masyarakat luar bandar. Penduduk kampung pula mendapat manfaat melalui perkongsian informasi kesihatan berkaitan amalan gaya hidup sihat serta nasihat kesihatan bagi masalah kesihatan sedia ada. Kes-kes baharu yang dikenal pasti turut dirujuk kepada fasiliti kesihatan berhampiran untuk tindakan lanjut.

Program kemuncak yang berlangsung di FPSK dan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS menampilkan pelbagai aktiviti promosi kesihatan bertemakan “3H: Healthy Moves, Healthy Joints, Healthy Life”, termasuk sesi yoga bersama Yogini Studio, ceramah kesihatan oleh Dr. Marlynna Sarkawi, saringan kesihatan, pemeriksaan fizikal osteoartritis (OA), konsultasi kesihatan dan pameran pendidikan kesihatan. Program ini memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui peningkatan kesedaran kesihatan, pengesanan awal masalah kesihatan serta pendedahan kepada amalan gaya hidup sihat. Aktiviti berkaitan osteoartritis dan aktiviti fizikal turut membantu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan penjagaan sendi, pengurusan kesakitan, kepentingan mengekalkan berat badan sihat serta penglibatan dalam aktiviti fizikal secara berkala bagi meningkatkan mobiliti dan kualiti hidup.
Majlis Apresiasi Program telah disempurnakan oleh Dekan FPSK, Profesor Dr. Asri bin Said. Turut hadir ialah Ketua Jabatan Perubatan Komuniti dan Kesihatan Awam, Profesor Dr. Anselm Su Ting, bersama pensyarah, penyelia lapangan, Juruteknologi Makmal Perubatan (MLT), staf FPSK dan PITAS serta para pelajar Program Doktor Perubatan Tahun 2. Program ini turut mendapat kerjasama daripada AMSA UNIMAS, Yogini Studio, PGMED FPSK dan Pusat Dialysis Cahaya, Kuching yang diwakili oleh Dr. Mohamed Redduan bin Mohamed Atta.
Pelaksanaan program selama dua tahun ini memperlihatkan hubungan erat dan kerjasama berterusan antara pihak universiti dan komuniti setempat dalam memperkukuhkan pendidikan perubatan berasaskan komuniti serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

