Oleh: Christine Anak Christopher & Dr Vimala A/P Govindaraju
KOTA SAMARAHAN, 7 Disember 2024 – Pelajar Program Komunikasi Strategik Tahun 4 dari Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menganjurkan aktiviti plogging di sekitar kawasan kampus.
Aktiviti plogging ini merupakan salah satu aktiviti bagi Kempen ‘EarthSOS: Our Planet, Our Future’ anjuran Program Komunikasi Strategik Tahun 4 untuk kursus PBK4202 Kempen Strategik dan Pengurusan Acara. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar yang menggabungkan jogging dengan pengumpulan sampah dan barang kitar semula dalam kalangan pelajar akhir tahun Program Komunikasi Strategik.
Seramai 77 orang peserta dari pelajar tahun akhir Program Komunikasi Strategik telah berkumpul di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi pada jam 7.00 pagi. Aktiviti dimulakan dengan tarian zumba untuk sesi pemanasan badan.
Aktiviti plogging tersebut mempunyai tiga laluan yang berbeza. Tepat pada pukul 7.30 pagi semua pelajar telah dibahagikan kepada kumpulan masing-masing. Mereka dilengkapi dengan plastik sampah dan sarung tangan untuk memastikan pengumpulan sampah dilakukan dengan cara yang selamat dan teratur. Setelah selesai, semua peserta diminta untuk melakukan sesi menyusun sampah dan bahan kitar semula mengikuti kategori seperti plastik, aluminium, kaca, kayu, dan kertas.
Menurut ketua aktiviti, Betrice Britney Dee Derick, aktiviti plogging ini dilaksanakan untuk mencapai objektif meningkatkan kesedaran alam sekitar dan melibatkan diri dalam kebersihan komuniti.
“Matlamat aktiviti ini adalah untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan kitar semula, kesan alam sekitar dan peranan pelajar dalam mengurangkan sisa dan mengalakkan kelestarian alam sekitar,” ujar Betrice.
Aktiviti ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar tetapi juga menunjukkan komitmen pelajar dalam menjaga kebersihan dan memperkukuhkan tanggungjawab sosial. Menerusi penglibatan secara aktif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar ini, para pelajar bukan sahaja dapat mempraktikkan nilai murni dalam diri tetapi turut memberi contoh yang baik kepada komuniti kampus dan masyarakat sekitar untuk bersama-sama menjaga bumi kita.