
Pada 5 dan 6 Oktober 2026, aktiviti pembuatan rak cendawan telah dilaksanakan di Kampung Empila Kota Samarahan. Projek Global SULAM ini telah dipertanggungjawabkan kepada kursus KNP1151 Workshop Practice, dibawah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (JKMP), Fakulti Kejuruteraan (FK). Projek ini telah diketuai oleh Ts Mohd Azrin Mohd Said selaku penyelaras kursus, Dr Mohd Affifuddin bin Abdul Patar, Hj Rasli Muslimen, dan Dr Mohamad Syazwan Zafwan. Turut hadir adalah Penyelaras Program Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Dr Hishammudin Afifi bin Huspi. Rombongan wakil penduduk Kampung Empila Kota Samarahan telah diwakili oleh KK, Encik Muhamad.
Sepanjang program ini, para pelajar yang terlibat telah bekerjasama dalam proses pembuatan rak cendawan bagi kegunaan di Rumah Cendawan Kampung Empila dan telah berjaya menyiapkan sebuah rak cendawan dalam tempoh masa 2 hari. Aktiviti ini telah memberi peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari sepanjang kursus, khususnya dalam kerja bengkel dan proses pembuatan.

Pada 7 Oktober 2026, majlis telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan (FK), iaitu Prof Ir Dr Abdullah bin Hj Yassin. Pada hari tersebut, Fakulti Kejuruteraan telah membuka sebuah booth bagi memperkenalkan fakulti serta mempamerkan hasil projek pelajar, produk jabatan dan video demonstrasi pemasangan rak cendawan. Selain itu, pelajar juga berpeluang untuk melawat ke rumah cendawan untuk melihat hasil rak cendawan yang digunapakai untuk penyusunan blok-blok cendawan. Antara aktiviti yang dijalankan di rumah cendawan tersebut ialah Mushroom Cultivation Demo dan IoT Mushroom House Demo, yang memberikan pendedahan kepada pelajar tentang proses penanaman cendawan dan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dalam pengurusan rumah cendawan.
Program diakhiri dengan sesi demonstrasi dan perkongsian ilmu sebelum semua pelajar bersurai. Diharapkan agar rak cendawan yang dihasilkan dapat dimanfaatkan oleh pihak Kampung Empila, di samping memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal kepada pelajar melalui penglibatan dalam program Global SULAM UNIMAS.
Disediakan oleh Nur Syuhaida Binti Mohd Radzi Asmara
Disemak oleh Ts Mohd Azrin Mohd Said & Daniel Wong