September 9, 2026
image

Ada kejayaan yang diraikan bukan kerana sejauh mana seseorang telah pergi, tetapi kerana betapa jauh perjalanan yang terpaksa ditempuh untuk sampai ke titik permulaan.

Bagi Jane Catrolia Anak Jaon, anak muda Bidayuh dari Kampung Jugan, Jalan Bau-Lundu, Bau, langkah memasuki Program Doktor Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UNIMAS membawa bersama sebuah cerita yang cukup istimewa.

Jane merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik. Ayahnya mencari rezeki sebagai petani, manakala ibunya seorang suri rumah. Dalam sebuah keluarga sederhana yang bergantung kepada satu sumber pendapatan, impian untuk melihat seorang anak melangkah ke universiti mungkin bukan sesuatu yang mudah. Namun keterbatasan tidak menghalang Jane untuk belajar, berusaha dan menyimpan cita-cita yang besar.

Daripada MRSM Kuching, Jane meneruskan langkah ke Kolej Matrikulasi Kuching. Kini, langkah itu membawanya ke FPSK UNIMAS untuk mengejar cita-cita menjadi seorang doktor.

Lebih membanggakan, Jane merupakan orang pertama dalam keluarganya yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan orang pertama dari kampungnya yang berjaya memasuki bidang perubatan.

Bayangkan betapa besarnya makna sebuah surat tawaran universiti kepada keluarga ini.

Di dalam setiap langkah anak muda ini ke universiti, ada keringat seorang ayah yang bekerja sebagai petani, doa seorang ibu, harapan sebuah keluarga, dan kebanggaan sebuah kampung.

Apabila seorang anak diberikan peluang untuk belajar, kita bukan sekadar mengubah masa depannya. Pendidikan mampu mengubah nasib sebuah keluarga, membuka jalan kepada generasi seterusnya, dan membawa harapan kepada sebuah komuniti.

Jane, selamat datang ke keluarga besar FPSK UNIMAS. 🩺

Perjalanan untuk menjadi seorang doktor bukanlah perjalanan yang mudah. Akan ada hari yang panjang, malam yang singkat dan cabaran yang menguji ketabahan.

Terbanglah tinggi, Jane.

Semoga perjalanan lima tahun yang bakal ditempuh membentuk Jane bukan sahaja menjadi seorang doktor yang berilmu dan kompeten, tetapi juga seorang doktor yang sentiasa mengingati keluarga, kampung halaman dan seterusnya menabur bakti kepada masyarakat Sarawak.

Kami di FPSK UNIMAS bangga menerima Jane sebagai sebahagian daripada keluarga kami.

Selamat maju jaya, Jane. Perjalananmu baru sahaja bermula.

nukilan: Prof Dr Asri bin Said, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan