July 14, 2026

Written by: Dr. Faizan Iza binti Zainuddin (FEB UNIMAS)

KOTA SAMARAHAN, 11 Julai 2026 – Seramai 15 orang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) daripada Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB) telah berjaya menamatkan penyertaan dalam TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) 2026 yang berlangsung di TEGAS Digital Village dari 6 hingga 11 Julai 2026.

Program anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) itu menghimpunkan pasukan startup daripada pelbagai institusi pengajian tinggi bagi memperkukuh kemahiran keusahawanan, inovasi dan pembangunan perniagaan berasaskan teknologi. Sepanjang enam hari program, para peserta mengikuti pelbagai bengkel intensif, sesi bimbingan bersama mentor industri dan latihan praktikal yang memberi fokus kepada pembangunan idea startup, pengesahan model perniagaan, strategi penembusan pasaran (Route-to-Market), pemasaran digital, pembangunan Minimum Viable Product (MVP), penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), penyediaan pitch deck serta latihan pembentangan. (Tegas⁠)

Kemuncak program berlangsung pada Demo Day, di mana setiap pasukan membentangkan idea startup mereka kepada panel penilai selepas melalui proses pembangunan dan penambahbaikan sepanjang bootcamp. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh YB Dayang Noorazah Awang Sohor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah TEGAS, yang mewakili Pengerusi TEGAS.

Foto oleh pihak Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS)

UNIMAS telah diwakili oleh enam kumpulan startup iaitu NextGEN, AESPA, InnovateX, IceTech Group, LOTUS dan INFRAEDGE. Penyertaan para pelajar ini dibimbing oleh Dr. Faizan Iza binti Zainuddin, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB), UNIMAS, dengan sokongan Profesor Dr. Dayang Affizzah Awang Marikan, Dekan FEB, UNIMAS.

Foto oleh pihak Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS)

Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan FEB dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan mahasiswa melalui pendedahan kepada pengalaman pembelajaran berasaskan industri. Program seperti TPAB bukan sahaja membimbing peserta membangunkan idea inovatif, malah meningkatkan kemahiran berfikir secara strategik, menyelesaikan masalah, berkomunikasi secara profesional dan membina rangkaian bersama mentor serta pemain industri. Pendekatan ini selari dengan usaha UNIMAS dalam melahirkan graduan yang inovatif, berdaya saing dan bersedia meneroka dunia keusahawanan.

Fakulti Ekonomi dan Perniagaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TEGAS atas komitmen berterusan dalam menyediakan platform pembangunan keusahawanan yang berkualiti kepada mahasiswa. Kerjasama strategik antara TEGAS dan UNIMAS diharapkan dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan inovasi di Sarawak dan Malaysia.