January 13, 2026

Kota Samarahan, 3 Januari 2026 – Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah digerakkan bagi membantu operasi pengurusan bencana banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) dengan penugasan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Samarahan dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Kota Samarahan yang telah dibuka pada 1 Januari 2026 pada jam 1600.

Operasi ini diselaraskan oleh Pegawai Penyelaras, Lt. (PA) Mohd Zaidi bin Hj Jili, dengan sokongan Pegawai Penyelaras Interim, Lt.M (PA) Dayang Rohana binti Abang Mahdi, Pegawai Pasukan, Lt.M (PA) Cayrolniza Anak Mangie serta dibantu oleh Jurulatih Kor SISPA UNIMAS, Pbt. (PA) Muhammad Faizul bin Rapaee dan barisan Majlis Tertinggi Kor SISPA UNIMAS. Penglibatan Kor SISPA UNIMAS bertujuan membantu pengurusan pusat pemindahan, penyelarasan operasi serta sokongan kebajikan mangsa banjir.

PKS Kor SISPA terlibat dalam operasi pemantauan kawasan berisiko banjir.

Seramai 69 orang Pegawai Kadet SISPA (PKS) UNIMAS yang telah menyertai operasi ini. Di PPS Dewan Suarah Kota Samarahan, seramai empat orang PKS telah ditugaskan berlainan shift terdiri daripada 2 orang Siri 9 dan 2 orang Siri 10. Mereka berperanan membantu menguruskan PPS serta memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh penugasan. Sementara itu, penugasan di PKOB Samarahan melibatkan PKS daripada Skuad Siri 9 dan Skuad Siri 10 yang bertugas menyokong operasi kawalan dan pemantauan bencana.

Pada jam 1300, PPS Dewan Suarah Kota Samarahan telah menerima lawatan rasmi oleh YB Datuk Amar Douglas Unggah, Timbalan Premier Sarawak, Tuan Haji Abdul Wahab bin Haji Rahim, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, serta YS. PPJ. (PA) Mohtar bin Samat, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak. Lawatan ini bertujuan meninjau keadaan semasa mangsa banjir serta kesiapsiagaan agensi yang terlibat dalam operasi bencana.

Lawatan YB Datuk Amar Douglas Unggah, Timbalan Premier Sarawak, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Tuan Haji Abdul Wahab bin Haji Rahim, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, serta YS PPJ (PA) Mohtar bin Samat, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak.

Susulan keadaan yang semakin pulih, PPS Dewan Suarah Kota Samarahan telah ditutup secara rasmi pada jam 1400 pada hari yang sama. Sebagai kesinambungan operasi, Kor SISPA UNIMAS turut terlibat dalam aktiviti Pasca Banjir melalui Skuad Ihsan Madani yang dilaksanakan di Kampung Jegoi dari jam 1500 hingga 1700. Operasi ini melibatkan kekuatan seramai 10 orang Pegawai Pertahanan Awam, diketuai oleh Lt. (PA) Mohd Zaidi bin Hj Jili. Kekuatan pasukan tersebut terdiri daripada Pegawai Kadet SISPA seramai 6 orang serta anggota Angkatan Pertahanan Awam seramai 4 orang.

Mangsa banjir di PPS Kota Samarahan ketika lawatan Yang Berhormat Timbalan Premier, Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, serta YS PPJ (PA) Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak.

Penglibatan aktif Kor SISPA UNIMAS dalam operasi bencana ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh elemen kesukarelawanan, kesiapsiagaan komuniti dan khidmat masyarakat, selari dengan agenda kelestarian institusi, pembangunan wilayah dan aspirasi nasional yang digariskan oleh UNIMAS.

Pegawai Kadet Kor SISPA terlibat bersama Skuad Ihsan Madani dalam aktiviti pasca banjir di Kampung Jegoi

oleh PKS Kanan Yvonne Yonnia Anak Juing