April 22, 2026

KOTA SAMARAHAN: Dalam usaha memperkukuh jaringan antara dunia akademik dan sektor korporat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui Pusat Industri Universiti hari ini menerima kunjungan delegasi rasmi daripada jenama pakaian global, UNIQLO Malaysia. Lawatan kerja tersebut bertujuan untuk merangka kolaborasi strategik yang memfokuskan kepada pembangunan holistik melibatkan kepakaran staf dan kebolehpasaran pelajar universiti.

Pertemuan yang berlangsung di kampus UNIMAS itu memfokuskan kepada perbincangan pelbagai inisiatif jangka panjang. Antara agenda utama yang dibentangkan termasuklah perluasan peluang latihan industri (internship) yang komprehensif, sesi perkongsian ilmu oleh pakar industri, serta laluan kerjaya khusus untuk bakal graduan UNIMAS melalui program berprestij UNIQLO Manager Candidate (UMC) dan UNIQLO Global Management Program (GMP)

Menjelaskan lebih lanjut mengenai program UMC, ia merupakan inisiatif insentif berdurasi setahun yang direka khusus untuk membangunkan kemahiran pengurusan peruncitan serta pengalaman kepimpinan pada peringkat global. Program komprehensif ini bakal menjadi batu loncatan terbaik buat graduan sebagai persediaan memikul peranan pengurusan dan seterusnya menjadi barisan pemimpin dalam operasi serta perniagaan keseluruhan UNIQLO.

Selain itu, pihak UNIQLO turut menawarkan peluang keemasan kepada pelajar prasiswazah melalui program GMP. Ia merupakan program intensif selama enam hari yang ditaja sepenuhnya yang dijangka akan berlangsung di Pejabat Global Fast Retailing di Tokyo, Jepun dari 26-31 Julai 2026. Melalui program ini pelajar berpeluang berinteraksi dengan pemimpin perniagaan global bagi pendedahan pengalaman praktikal, tugasan antarabangsa dan latihan kepimpinan strategik untuk melahirkan professional muda yang bersedia menempa kerjaya global terutama dalam bidang pengurusan, perniagaan dan keusahawanan.

Selain penekanan terhadap pemerkasaan pelajar, kedua-dua pihak turut meneliti ruang kerjasama yang melibatkan staf akademik universiti. Ini termasuk cadangan pelaksanaan program sangkutan industri (industry attachment), di mana tenaga pengajar dan staf UNIMAS berpeluang menimba pengalaman praktikal secara langsung bersama pihak pengurusan UNIQLO. Langkah ini dijangka mampu merapatkan jurang antara modul pengajaran di bilik kuliah dengan realiti dan amalan sebenar dalam industri peruncitan global masa kini.

Turut mendapat perhatian utama dalam perbincangan tersebut penawaran program latihan industri yang lebih berstruktur dengan mereka menyatakan komitmen untuk menawarkan dua inisiatif iaitu Latihan Industri Tempatan dengan elaun sebanyak RM 1500 yang mana penempatan hanya di Kuala Lumpur serta Program Latihan Industri Global yang berdurasi selama dua minggu bagi menimba pengalaman pengurusan peruncitan di luar negara.

Lebih menarik, lawatan kerja ini turut membawa kepada satu perkembangan positif apabila pihak delegasi UNIQLO menyatakan komitmen awal untuk menyertai dan memeriahkan Program TRACE 2026 kelak untuk membuka ruang interaksi lebih luas antara industri dan mahasiswa secara langsung.

Prof Dr Mohd Hasnain Bin Md Hussain, Pengarah Pusat Industri Universiti UNIMAS menyifatkan jalinan kerjasama dengan entiti antarabangsa seperti UNIQLO merupakan satu langkah proaktif yang sejajar dengan visi universiti untuk melahirkan graduan dan warga kerja yang kalis masa hadapan.

“Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar kami untuk merasai sendiri budaya kerja antarabangsa yang mementingkan kualiti dan kecekapan, malah ia turut memberi peluang kepada staf kami untuk menjayakan projek penyelidikan bersama, memupuk inovasi, dan berkolaborasi dalam program kelestarian atau tanggungjawab sosial korporat (CSR),” jelas beliau.

Sesi lawatan kerja rasmi tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderamata sebagai simbolik jalinan persahabatan, disusuli persetujuan untuk menggerakkan pelan tindakan selanjutnya. Kedua-dua pihak dijangka akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) rasmi dalam masa terdekat bagi menterjemahkan inisiatif-inisiatif yang telah dirancang kepada tindakan realiti.